Sabtu, 12 Oktober 2019 | 9:45pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong (tengah) disaksikan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Aminah Awang Basar (kiri) ketika melancarkan Majlis Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) peringkat negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

'Bukti kerajaan dengar suara rakyat'

KOTA KINABALU: Pengumuman Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki atau Rent To Own (RTO) dalam Belanjawan 2020, semalam, membuktikan kerajaan mendengar suara rakyat.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, berkata usaha itu dapat membantu rakyat memperoleh pembiayaan untuk memiliki rumah.

“Kita mendengar suara rakyat ketika berkempen dulu yang tidak mahu rumah mampu milik disewa sepanjang hayat, sebaliknya ingin rumah itu menjadi milik mereka.

“Justeru dengan pengumuman semalam, rakyat tidak lagi menyewa sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan 2019, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Japlin Akim, berkata Belanjawan 2020 dilihat memberi banyak manfaat kepada Sabah dan rakyatnya, terutama perbelanjaan pembangunan serta pemberian khas.

“Kita merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bercadang menggandakan kadar pemberian khas tahunan kepada RM53.4 juta untuk Sabah,” katanya yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Belud, dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, pula berkata peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dalam Belanjawan 2020, adalah langkah tepat bagi memantapkan aspek keselamatan serta pertahanan negara, khususnya di Sabah.

Beliau sekali gus berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melengkapi keperluan aset dan pemantapan operasi keselamatan, terutama di pantai timur negeri ini.

Katanya, usaha menambah baik kesiapsiagaan pertahanan, terutama aspek ketenteraan bagi mengawal perairan negeri ini, amat perlu untuk menghadapi sebarang ancaman dan pencerobohan luar.

“Kita menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan kepada kedua-dua kementerian itu bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara.

“Keupayaan aset dan peralatan pertahanan akan dapat ditambah serta ditingkatkan, terutama bagi mengawal perairan Sabah daripada ancaman pencerobohan militan dan pendatang warga asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, pula menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai usaha berterusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak.

“Saya turut berbesar hati dan sangat berbangga kerana ada diselitkan peruntukan bagi naik taraf landasan kereta api antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom,” katanya.

Di Sandakan, Ahli Parlimennya, Vivian Wong Shir Yee, menegaskan semakan semula pemberian khas tahunan bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan adalah berita gembira buat negeri ini.

Beliau berkata, ia sekali gus memperlihatkan komitmen dan keikhlasan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada Sabah serta Sarawak.

“Ini (belanjawan) mungkin tidak mampu memuaskan hati semua pihak, namun kerajaan menepati janji kepada Sabah. Saya percaya kerajaan akan terus berusaha untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Berita Harian X