Ahad, 13 Oktober 2019 | 7:09pm
PENGERUSI Kesatuan Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan (KPPSMCK), Yasin Othman (tengah) bersama penggawa serta sebahagian ahli Kelab Kelantan Bikers ketika melancarkan Tabung Derma Kamareeah ibu koma selepas melahirkan anak bagi membantu meringankan beban suaminya pada Majlis Perasmian Pelancaran Tabung Derma Bantu Kamareeah serta Konvoi Amal Motosikal Berkuasa Tinggi di Min House Camp, Kubang Kerian, Kota Bharu. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

KPPSMCK lancar tabung bantu ibu koma

KOTA BHARU: Kesatuan Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Kelantan (KPPSMCK) melancarkan tabung untuk membantu keluarga Kamareeah Arwae, 36, yang koma akibat ketumbuhan di kepala sejak tujuh bulan lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kamareeah yang terlantar akibat ketumbuhan di kepala, melahirkan anak bongsunya, Farah Hanis Fairol Haziri, secara pembedahan ketika berada dalam keadaan koma.

Pakar perubatan menganggap Farah Hanis sebagai bayi ajaib kerana mampu hidup ketika dalam kandungan ibunya yang koma.

Pengerusi KPPSMCK, Yasin Othman, berkata tabung dinamakan Tabung Derma Kamareeah akan diedarkan selama dua minggu bermula 18 hingga 25 Oktober ini di masjid utama 10 jajahan di negeri ini, yang akan dikendalikan oleh ahli kelab Kelantan Bikers.

Katanya, kutipan itu mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta badan bukan kerajaan (NGO) Bantuan Bencana NGO (BBNGO), untuk diserahkan kepada keluarga berkenaan pada 16 November ini.

“Sebagaimana yang kita ketahui, kunjungan dan lawatan yang diterima oleh keluarga Kamareeah daripada individu serta pihak tertentu semakin berkurangan.

“Dengan bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sudah tentu tidak mencukupi apatah lagi perlu menampung kos perbelanjaan Kamareeah serta anak yang baharu lahir sebanyak RM1,900 sebulan.

“Justeru, kita melancarkan tabung ini untuk memungut sumbangan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya selepas Majlis Perasmian Pelancaran Tabung Derma Bantu Kamareeah serta Konvoi Amal Motosikal Berkuasa Tinggi di Min House Camp, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yasin berkata bagi mengetahui keadaan semasa keluarga itu, beliau sentiasa berhubung dengan pentadbir mukim di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Saya amat berharap dengan pelancaran tabung ini, dapat membantu meringankan beban yang ditanggung selain wang sumbangan ini dapat digunakan oleh suaminya, Fairol Haziri Rahim, 44, untuk memulakan perniagaan baharu bagi menyara keluarga,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X