Ahad, 13 Oktober 2019 | 9:38pm
MAJLIS pecah tanah surau baru SK Bandar Seri Putra disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pada 12 Oktober. - Foto SKBSP

PIBG kumpul dana RM413,314 bina surau baharu di sekolah

KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SKBSP) berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM413,314 untuk mendirikan surau baharu di sekolah itu.

Dana berkenaan dikumpul menerusi penganjuran program Musollathon selama sebulan bermula 1 Ogos lalu.

Yang Dipertua PIBG SKBSP, Mejar (B) Baharuddin Abd Gapar, berkata program itu adalah penggemblengan usaha bagi memberi persekitaran pendidikan lebih kondusif kepada murid.

“Ia adalah program terbesar PIBG ini. Selain Musollathon, usaha sedang dilakukan bagi menambah dana menaik taraf fasiliti di dewan sekolah melalui penganjuran Malam Gala Sedekad SKBSP pada 2 November depan.

“Usaha dan kerjasama baik antara PIBG dengan pihak sekolah ini seharusnya mendapat perhatian serta pujian. Ia bagi meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia dan tidak meletakkan usaha membangunkan sekolah di bahu kementerian semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

MAJLIS pecah tanah surau baru SK Bandar Seri Putra disempurnakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pada 12 Oktober. - Foto SKBSP

Setiausaha projek Musollathon, Nursyazwani Kamarudin, pula berkata jumlah berjaya dikumpul menerusi program itu sangat memberangsangkan.

Beliau berkata, kutipan turut dilaksanakan melalui orang perseorangan, ibu bapa, peniaga, guru serta murid, selain aktiviti jualan oleh Panitia Pendidikan Islam, dan berhasil mengumpulkan RM92,072.

“Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul daripada hasil program Musollathon dan aktiviti jualan serta kutipan sebelum ini ialah RM505,386,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKBSP, Mohamad Jamil Yahaya, berkata kejayaan program terbabit adalah hasil usaha warga sekolah berkenaan.

“Kejayaan ini sejajar sambutan ulang tahun sedekad penubuhan sekolah pada 29 Jun lalu,” katanya.

Berita Harian X