X
Isnin, 14 Oktober 2019 | 2:22pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. NSTP/Aizuddin Saad
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. NSTP/Aizuddin Saad

Biomas sektor ekonomi baru

KOTA KINABALU: Industri hiliran berasaskan sumber biomas daripada sisa kelapa sawit dan perhutanan, berpotensi membantu Sabah mencapai sasaran menjadi negeri perindustrian menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sumber biomas yang banyak dengan kira-kira 60 juta tan daripada sisa mentah kelapa sawit dan 1.4 juta meter kubik biomas perhutanan, pada tahun lalu saja menjadi asas kukuh potensi mengembangkan industri itu.

“Sumber biomas yang besar di Sabah, khususnya daripada kelapa sawit dan perhutanan, mendorong kerajaan untuk melihat sektor hiliran berasaskan biomas sebagai sumber pendapatan baharu.

“Industri berasaskan bio akan dijadikan sektor baharu untuk menarik pelaburan terus asing,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Biomas Antarabangsa Sabah 2019 anjuran Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Sdn Bhd dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM), di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Seri Madius Tangau.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Azhar Matussin dan Ben Chong; Ketua Pegawai Eksekutif POIC, Datuk Dr Pang Teck Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar.

Mohd Shafie menjelaskan, sumber biomas di negeri ini belum dimanfaatkan sepenuhnya, manakala penggiat industri dilihat masih kurang berminat dalam aktiviti hiliran berkaitan.

“Berdasarkan pengalaman POIC, semua pihak kelihatannya seperti menunggu orang lain untuk memulakan langkah. Saya percaya industri ini akan dibentuk jika ada pihak yang memulakan langkah pertama.

“Sabah memiliki semua yang diperlukan seperti bahan mentah, infrastruktur dan sokongan kerajaan kepada pihak yang memulakan langkah pertama untuk mengambil peluang,” katanya.

POIC Sabah Sdn Bhd sebelum ini berusaha mempromosi pembangunan industri hiliran biomas, antaranya menggalakkan penggiat industri menjual biomas dengan harga yang ditetapkan, selain melaksanakan kaedah menggabungkan pemilik biomas dan penyedia teknologi tetapi tidak berhasil.

Kajian AIM sebelum ini menyasarkan potensi biomas di negara ini untuk menjana sehingga RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain mewujudkan 66,000 pekerjaan menjelang 2020.

“Hasil kajian sebelum ini begitu menggalakkan. Angkanya memang mengagumkan, pasarannya besar, teknologi sudah tersedia untuk pengkomersialan. Ringkasnya, biomas boleh menjana wang yang banyak.

“Namun, jika melihat landskap biomas Sabah atau Malaysia keseluruhannya, masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Sekarang, industri hilirannya hanya mampu menyediakan 5,300 peluang pekerjaan, sangat jauh berbanding 66,000 yang disasarkan tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menekankan, keadaan itu boleh ditambah baik jika industri hiliran berasaskan biomas dikembangkan bagi penghasilan palet, biofuel dan biokimia, sejajar usaha kerajaan negeri ke arah negeri perindustrian pada 2030.

Jelasnya, pelabur juga digalak menggunakan biomas balak dan pokok sawit untuk menghasilkan kertas dan pulpa bagi mempelbagaikan aktiviti hiliran, berasaskan biomas untuk mencapai sasaran negeri perindustrian.

Berita Harian X