Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:13pm
BAKHTIAR menunjukkan poster Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 semasa ditemui di Bukit Kemuning Golf and Country Resort, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

YIDE anjur kejohanan golf amal

SHAH ALAM: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan mengadakan Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 Sabtu ini, bagi mengumpul dana bagi membantu mereka yang ditimpa musibah, anak yatim dan menyediakan khidmat hemodialisis.

Pengerusinya, Datuk Bakhtiar Hussin, berkata pertandingan edisi ketiga di Bukit Kemuning Golf & Country Resort itu setakat ini berjaya mengumpul sumbangan RM380,000 dari syarikat dan juga individu.

Beliau berkata, jumlah itu dijangka bertambah menjelang kejohanan kira-kira tiga hari lagi.

Katanya, 128 pemain golf mewakili syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan orang awam menyatakan kesediaan bagi menyertai kejohanan berkenaan.

“YIDE akan membantu mereka yang ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh.

“Fokus utama kami juga untuk merealisasikan impian anak yatim dengan membantu menyediakan rumah kebajikan kepada mereka.

“Setakat ini, terdapat 15 rumah didiami hampir 8,000 orang anak yatim di bawah kelolaan kami,” katanya di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan Golf Amal YIDE 2019, Mohd Salim Mohamed Sain.

Bakhtiar berkata, dana dari kejohanan juga akan disalurkan bagi menyediakan rawatan hemodialisis di enam Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sementara itu Mohd Salim berkata, YIDE akan bekerjasama dengan syarikat hartanah Central Spectrum Sdn Bhd bagi membina sebuah rumah yatim.

“Syarikat hartanah terbabit mewakafkan tanah di Pulau Indah kira-kira 3.4 hektar dan memberi dana RM5 juta untuk membangunkan rumah anak yatim itu. Rumah itu akan memuatkan 200 anak yatim dan kos keseluruhan pembinaan dianggar RM12 juta.

“Saya berharap ada syarikat korporat dan swasta akan menyumbang dan syarikat yang pernah memberi dana untuk terus membantu kami bagi menjayakan penubuhan rumah kebajikan ini,” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi 012-905 5173 atau 014-638 4475 atau 017-756 9457.

Berita Harian X