Rabu, 16 Oktober 2019 | 12:58pm
Seramai 72 orang pemandu pelancong Taman Negara bergambar ketika menyertai Kursus Berkemahiran Alam Semulajadi anjuran Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang sebagai persediaan menghadapi tahun melawat Malaysia 2020. - NSTP/Roselan Ab Malek

72 pemandu pelancong tingkat kemahiran menjelang TMM 2020

JERANTUT: Seramai 72 orang pemandu pelancong menyertai Kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semulajadi bagi meningkatkan pengetahuan mengenai alam semula jadi menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 tahun depan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara Pahang, Mohamad Anas Zainudin, 30, berkata kursus dua hari itu adalah bagi memastikan semua pemandu pelancong beroperasi dalam kawasan Taman Negara mempunyai lesen pemandu pelancong yang sah.

Katanya, kursus ini disertai semua pemandu pelancong alam semula jadi yang bernaung di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara membabitkan Taman Negara Kuala Tahan; Taman Negara Sungai Relau, Merapoh dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Beliau berkata, kursus ini adalah wajib bagi semua pemandu pelancong untuk mereka memperbaharui lesen pemandu pelancong dimiliki.

“Pada tahun ini kita memberi penekanan kepada hutan paya bakau dan persediaan pemandu pelancong menghadapi kebanjiran pelancong sempena TMM 2020.

“Sebagai duta kecil negara, mereka dapat menaikkan imej negara dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong, terutamanya dari luar negara,” katanya.

Mohamad Anas berkata, kemahiran tinggi dan profesional dapat meningkat jumlah ‘pelancong berulang’ apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan.

“Apabila pelancong berpuas hati dengan layanan diberikan, secara tidak langsung mereka datang semula ke Taman Negara pada masa akan datang,” katanya.

Seorang peserta, Sabri Abdullah, 49 dari Kuala Tahan di sini, berkata kursus ini dapat meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu mengenai hutan di Taman Negara.

Katanya, kebanyakan pelancong yang datang ke Taman Negara memang berminat dengan hutan hujan tropika yang sudah berusia kira-kira 150 juta tahun dan antara yang tertua di dunia.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, kursus ini akan memberi pendedahan kepada pemandu pelancong dan melatih mereka dalam kemahiran yang berkaitan alam semula jadi.

Berita Harian X