Sabtu, 19 Oktober 2019 | 3:23pm
SEKOLAH Menengah (SM) Saint (St) Michael, di Penampang mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini dengan menghasilkan 1,588 pasu diperbuat daripada botol bekas bahan pencuci. - Foto Malai Rosmah Tuah

SM St Michael cipta rekod ke-10 dalam MBOR

[email protected]

PENAMPANG: Sekolah Menengah (SM) Saint (St) Michael, di sini sekali mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini dengan menghasilkan 1,588 pasu diperbuat daripada botol bekas bahan pencuci.

Pengetua SM St Michael, Jennifer Asing, berkata projek itu membabitkan penyertaan lebih 1,000 pelajar, guru dan kakitangan sekolah, selain penduduk Kampung Terawi, di sini.

Katanya, projek itu dimulakan sejak pertengahan tahun ini membabitkan proses pengumpulan bekas botol bahan pencuci sebelum dibentuk menjadi pasu, malah ia sebahagian daripada inisiatif kitar semula dilaksanakan sekolah berkenaan.

“Kali ini kita bekerjasama dengan penduduk Kampung Terawi dan hampir setiap malam kami bersama mereka melakukan kerja menggunting serta membentuk botol itu untuk dijadikan pasu.

“Kebanyakan botol ini dikumpul melalui hasil sumbangan komuniti dan pelajar sendiri, malah kami akan memberi insentif melalui merit kepada setiap pelajar yang membawa tiga botol dan menghasilkan sendiri pasu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Projek Penghasilan Pasu Pelbagai Guna Terbanyak Dari Bekas Botol Bahan Pencuci, di sini hari ini.

Katanya, kesemua pasu itu akan digunakan untuk persediaan beberapa program sekolah, termasuk Sekolah Lestari dan Sekolah Rakan Alam Sekitar, selain diberikan kepada penduduk setempat.

“Ia memiliki banyak kegunaan dan bukan sekadar dijadikan pasu bunga. Malah, ia boleh digunakan untuk hiasan dinding atau pasu gantung.

“Selebihnya kita akan jual kepada orang ramai dan hasilnya dijadikan sebagai dana untuk projek inovatif lain pada masa depan.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang yang merasmikan program itu mahu program 3E (Pendidikan, Alam Sekitar Dan Keusahawanan) diamalkan semua penduduk, termasuk pelajar dan murid di daerah ini.

Berita Harian X