Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:22pm
Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan, Datuk Bakhtiar Hussin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori B, Dr Zarul Azam (kiri) pada Kejohanan Golf Amal Yayasan Islam Darul Ehsan di Bukit Kemuning Golf & Country Resort. - NSTP/Saddam Yusoff

Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 kumpul kira-kira RM400,000

SHAH ALAM: Kejohanan Golf Amal YIDE 2019 di Bukit Kemuning Golf & Country Resort, di sini, hari ini berjaya mengumpul dana kira-kira RM400,000.

Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Datuk Bakhtiar Hussin, berkata Central Sugar Refinery Sdn Bhd memberi dana terbesar, iaitu RM140,000, manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang sebanyak RM50,000 diikuti Sipro Plastic Industries Sdn Bhd (RM30,000) dan Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) (RM20,000).

Beliau berkata, YIDE turut menerima sumbangan masing-masing RM10,000 daripada 10 syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.


Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan, Datuk Bakhtiar Hussin. - NSTP/Saddam Yusoff

“Kejohanan ini diharap dapat dianjurkan setiap tahun. Kejohanan kali ketiga ini pada hari ini mendapat sambutan anak syarikat kerajaan negeri dan pemain golf.

“Kutipan dana kira-kira RM400,000 ini kita akan guna untuk membantu yayasan melaksanakan aktiviti kebajikan yang sudah dirancang terutama untuk membantu mangsa musibah seperti kebakaran dan banjir,” katanya ketika ditemui selepas program itu.

Program itu turut disertai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohammed Khusrin Munawi; Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.

Penganjuran itu mendapat kerjasama MAIS, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Baktisuci Holdings, Majlis Sukan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan akbar Berita Harian, Media Prima Berhad serta Media Selangor sebagai rakan media.

Kejohanan itu disertai seramai 128 pemain golf yang terdiri daripada kakitangan dan pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, pemaju hartanah, anak syarikat MAIS serta orang awam.

Bakhtiar berkata, YIDE merancang membina sebuah Kompleks Asrama Anak Yatim di Pulau Indah, dengan kerjasama Central Spectrum (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, kompleks dengan kos pembinaan sebanyak RM11 juta itu dijangka boleh menempatkan seramai 200 anak yatim.

Selain itu, katanya, YIDE juga bekerjasama dengan pihak swasta termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membina dua pusat dialisis, iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di Klang.

“Saya berharap supaya orang ramai boleh menyumbang untuk meningkatkan dana, khususnya bagi pembinaan rumah anak yatim yang dijangka bermula tahun hadapan.

“Saya percaya anak syarikat kerajaan negeri dan pihak swasta ada peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kita berharap ia boleh disumbang kepada YIDE kerana ia yayasan diberi kuasa bawah MAIS untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Dr Zarul Azam yang memegang handicap 16 menjuarai kategori B dan Mohd Ezuwan Enjah yang memegang handicap 12 menjadi juara kategori A, sekaligus menjadi juara keseluruhan.

Mohd Ezuwan menerima hadiah Piala Pusingan Raja Muda Selangor, piala iringan dan televisyen bernilai RM1,800, manakala Dr Zarul memenangi hadiah komputer riba bernilai RM1,500.

Berita Harian X