Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:24pm
Miswan Sayuti (dua dari kiri) mengaminkan doa ketika bacaan talkin pada pengkebumian anaknya Allahyarham Azalan Miswan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

Jenazah Azalan dikebumikan

SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Azalan Miswan yang meninggal dunia selepas bas pelancong yang dinaikinya terbabit kemalangan di Turki, Rabu lalu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini, malam ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang dibawa ke Surau An-Nur di Seksyen 20, di sini selepas tiba dari Turki petang tadi.

Allahyarham yang berusia 50 tahun dikebumikan kira-kira jam 9.10 malam ini selepas selesai solat jenazah di surau berkenaan dan jenazahnya dibawa ke tanah perkuburan itu.

Selain kira-kira 500 ahli keluarga, saudara mara, jiran dan rakan termasuk rakan sekerja di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek turut menziarahi jenazah kakitangan perbadanan itu.

Urusan pengebumian diuruskan sepenuhnya oleh PKNS dengan kerjasama pihak surau dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu, isteri Allahyarham, Wan Faridah Ahmad, 53, ketika ditemui, berkata beliau bersyukur dengan bantuan dan sokongan semua pihak yang banyak membantu menguruskan jenazah suaminya, termasuk pihak Wisma Putra.

“Mereka banyak membantu menguruskan jenazah dari petang semalam sehingga dapat dibawa ke Istanbul pagi tadi sebelum perjalanan pulang.

“Wisma Putra kata ini pertama kali proses yang cepat kerana kebiasaannya mengambil masa empat ke lima hari,” katanya kepada pemberita.

Wan Faridah berkata, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mereka disambut pegawai Wisma Putra sehingga jenazah suaminya dapat dibawa pulang ke Shah Alam.

“Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua yang datang menziarahi arwah, kawan-kawan, saudara mara kerana memudahkan pengurusan arwah suami saya,” katanya.

Anak bongsu arwah, Ariff Danial Azalan, 15, pula tidak dapat menahan sebak ketika ditanya mengenai pesanan terakhir Allahyarham bapanya sebelum ke Turki.

“Masa nak hantar ayah ada pesan suruh belajar rajin-rajin,” katanya.

Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan Rabu lalu, Azalan Miswan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

BH sebelum ini turut melaporkan Allahyarham Azalan seorang yang menjaga solat lima waktu dan sentiasa merebut peluang ke surau serta disenangi ramai.

Allahyarham yang juga anak sulung daripada tujuh beradik, meninggalkan bapa, Miswan Sayuti dan ibunya, Rosnani Hamzah, isteri Wan Faridah serta dua anak lelaki dan seorang perempuan masing-masing berusia 15, 23 dan 26 tahun.

Berita Harian X