Ahad, 20 Oktober 2019 | 12:16pm

Derita Siti Nurjannah Umaira

JERANTUT: Usianya baru mencecah dua tahun, tetapi Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin, disahkan menanggung tujuh jenis penyakit berikutan sindrom ‘vacterl’ yang dihidapinya.

Siti Nurjannah Umaira terpaksa melalui pelbagai penderitaan selepas dibebani tujuh penyakit itu yang berlaku satu dalam 4,000 kelahiran.

Anak pasangan Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45 dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, yang tinggal di Perumahan Banjir Kuala Teh itu mengidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan.

Menurut Siti Norzurain Fatima, mereka sedih mengenang nasib dan derita yang terpaksa dihadapi Siti Nurjannah Umaira ini sejak dia lahir hingga kini.

“Saya tidak tahu anak mengalami pelbagai masalah ketika dalam kandungan kerana tiada tanda yang dia mengalami sebarang masalah, cuma apabila lahir di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, barulah doktor mengesahkan dia mengidap ‘sindrom vacterl,” katanya yang boleh dihubungi menerusi 013-9164376.

Selepas Siti Nurjannah dilahirkan, doktor terus menempatkannya ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan dan selepas itu dua bulan lagi di wad biasa sebelum boleh dibawa pulang.

“Sebagai ibu, berat mata memandang, berat lagi bahu dipikul Siti Nurjannah kerana dia disahkan menderita pelbagai masalah iaitu buah pinggang, jantung, saiz paru-paru kecil, tulang tidak sempurna, sumbing lelangit, masalah untuk menelan dan sukar untuk bercakap.

Siti Nurjannah adalah anak bongsu dari tiga adik beradik.

Menambah ujian keluarga itu, abang kanak-kanak itu, Adi Putra, 10, turut mempunyai masalah jantung berlubang tetapi semakin pulih selepas dua kali membuat pembedahan.

Siti Nurjannah mempunyai seorang lagi abang berusia tujuh tahun, Ahmad Adif Zuhairi.

Pada masa ini Siti Nurjannah terpaksa membuat pemeriksaan dan rawatan jantung dan buah pinggang setiap bulan di HOHSAH manakala tiga bulan sekali terpaksa pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, untuk merawat bahagian tulang.

Ia sekali gus menambah beban kewangan kepada pasangan berkenaan.

“Pada masa ini dia tidak mampu berjalan dan duduk dengan berat hanya sekitar lima kilogram, saya terpaksa mendukungnya ke mana saja,” katanya.

Siti Nurjannah hanya mampu berbaring dan mengolekkan dirinya untuk bergerak dalam rumah serta tidak boleh makan sebarang makanan keras kecuali susu yang dimasukkan melalui hidungnya menggunakan tiub.

“Dia memerlukan sekurang kurang tiga tin susu khas dan bernasib baik kerana Klinik Desa Kuala Teh turut menyumbang dua tin susu itu setiap bulan,” katanya.

Menambah derita keluarga, katanya, Ahmad Zainuddin tidak boleh membuat kerja berat kerana menghidapi sakit saraf sejak lima tahun lalu menyebabkan kerjanya sebagai pendawai elektrik tidak dapat dilakukan lagi.

Beliau menampung perbelanjaan keluarga dengan menjual nasi lemak setiap hari selain berharap suaminya dapat bekerja yang agak ringan di mana-mana seperti jaga.

“Walaupun saya amat sedih dengan masalah yang dihadapi, saya perlu tabah dan lama kelamaan, saya dapat terima dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Perniagaan nasi lemaknya juga kadang-kadang terganggu kerana terpaksa melayan Siti Nurjannah yang kerap meragam akhir-akhir ini.

Siti Norzurain Fatima kini hanya memasak di rumah dan menghantar makanan siap ke gerai orang lain bagi menampung kos rawatan dan keperluan harian.

“Pada masa sama saya mengharapkan doa orang ramai supaya dapat meringankan penyakit yang dihadapi Siti Nurjannah dan

berharap dia dapat menjalani kehidupan seperti bayi yang lain,” katanya.

Siti Norzurain Fatima memangku Siti Nurjannah Umaira di rumahnya di Perumahan Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang. - Foto Roselan Abdul Malek
Berita Harian X