Ahad, 20 Oktober 2019 | 3:29pm

RM182.21 juta untuk pembangunan Kedah tahun depan

ALOR SETAR: Belanjawan Kedah 2019 memperuntuk anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.097 bilion dengan jangkaan defisit 8.20 peratus, meningkat berbanding 8.14 peratus pada 2019.

Selaras tema ‘Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Negara’, belanjawan yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu disifatkan realistik, berdasarkan keadaan semasa dengan mengambil kira punca hasil, punca kuasa sedia ada, data terperinci dan juga prestasi semasa kutipan hasil.

Katanya, daripada RM1.097 bilion itu, peruntukan perbelanjaan mengurus membabitkan RM759.49 juta dengan daripada jumlah itu, sebanyak RM75.71 juta diperuntuk sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, manakala peruntukan pembangunan sebanyak RM182.21 juta.

“Anggaran perbelanjaan mengurus untuk 2020 berkurangan sebanyak 1.08 peratus berbanding tahun lalu, manakala anggaran hasil RM701.94 juta sekali menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan bajet realistik dapat dicapai berdasarkan kemampuan kewangan semasa.

“Peruntukan pembangunan juga lebih rendah 6.26 peratus, berbanding 2019 memandangkan 2020 adalah tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Justeru, dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Bajet 2020 menganggarkan defisit sejumlah RM57,547,862 atau 8.20 peratus,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2020 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri sedang mengurangkan bebanan hutang yang ditanggung berjumlah RM2.68 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu, sebahagian besar hutang berjumlah RM1.78 bilion untuk membiayai projek prasarana bekalan air.

“Kerajaan negeri berjaya mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk menukar skim pembiayaan daripada pinjaman kepada geran.

“Selain itu, kerajaan negeri mencari jalan membuat pembayaran hutang sedia ada secara berperingkat, berbanding amalan lalu yang membayar hutang apabila mempunyai kemampuan atau ‘payable when able’ yang dirasakan seperti tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, kerajaan negeri mencadangkan bantuan khas kewangan sebanyak RM750 kepada lebih 6,000 penjawat awam membabitkan lantikan tetap dan kontrak dengan pembayaran dibuat pada Disember ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntuk sebanyak RM24.42 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk meningkatkan pengurusan, pembangunan semula kawasan hutan simpan dan peningkatan kemudahan di semua hutan lipur di negeri itu.

Katanya, pemberhentian pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil, namun kepentingan menjaga sumber air lebih diutamakan.

“Kerajaan negeri memohon sumbangan kehilangan hasil daripada Kerajaan Persekutuan, selain merancang untuk menambah seluas 83,753 ekar (33,501 hektar) menjadikan keseluruhan kawasan tadahan air di hutan itu kepada 123,855 ekar (49,542 hektar).

“Selain itu, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan seluas 20,240 ekar (8,096 hektar) di Hutan Simpan Bukit Saiong, Sik sebagai kawasan tadahan air,” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM42.8 juta melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah bagi mengukuhkan jaringan perhubungan jalan raya yang akan menyokong pembangunan negeri.

Katanya, selain itu, syarikat Kedah Tourism Sdn Bhd akan ditubuhkan bagi menyelaras dan menggerakkan promosi serta penganjuran acara pelancongan Kedah, menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Peruntukan sebanyak RM1 juta turut disediakan untuk menaik taraf Muzium Negeri.

“Selain itu, kemudahan pelancongan di Jerai Geopark akan ditambah menerusi pembinaan Pusat Informasi di kaki Gunung Jerai, mewujudkan Pusat Jualan Produk Komuniti di Semeling dan memperkemas pusat makanan di pekan Yan, Guar Chempedak dan Kota Kuala Muda,” katanya.

Mukhriz semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2020 di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X