Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:31pm
SEBUAH rumah di Kampung Pida 4 Deli, Mukim Jeram, Tunjang yang rosak dan bumbungnya diterbangkan angin dalam kejadian puting beliung. NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Mukhriz serah bantuan awal kepada mangsa ribut di Jitra

JITRA: Sekurang-kurangnya 20 rumah di tiga kampung dekat sini rosak selepas penempatan berkenaan dilanda angin kencang berserta puting beliung, petang tadi.

Kediaman yang dilaporkan rosak dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, membabitkan 10 rumah di Kampung Pida 4 serta 10 premis lagi di Kampung Pida 3 dan Kampung Gurindam.

Penduduk Kampung Pida 4, Fatimah Salam, 58, berkata dia sedang mandi sebelum terdengar bunyi seperti enjin jentera pembajak di luar rumah.

Katanya, dia kemudian ternampak pusaran angin yang menerbangkan sebahagian atap zink rumah sebelum berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang kediamannya roboh.

“Saya terus merangkak di belakang rumah, anak lelaki pula memeluk pokok sebaik melihat pusaran angin menghala ke rumah kami dan menerbangkan sebahagian bumbung rumah.

“Keadaan di dalam rumah pula basah dan barang rosak akibat hujan,” katanya ketika ditemui.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut melawat dan menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa bencana terbabit bagi meringankan beban mereka.

“Kita sedang tunggu bancian pelbagai agensi berkaitan mengenai penduduk yang terbabit dalam kejadian ini dan akan menyalurkan sumbangan susulan untuk kos baik pulih rumah yang rosak,” katanya.

Katanya, Kedah sudah bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk bencana berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Berita Harian X