Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:54pm
MENTERI Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh (duduk di kanan) menanam anak pokok berlian sebagai simbolik perasmian Forest Run Sarikei di Sarikei. NSTP/Khalid Latip
MENTERI Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh (duduk di kanan) menanam anak pokok berlian sebagai simbolik perasmian Forest Run Sarikei di Sarikei. NSTP/Khalid Latip

4.3 juta hektar hutan simpan kekal di Sarawak

SARIKEI: Pengurusan strategik yang dilaksanakan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya mengekalkan litupan hutan sebanyak 63 peratus daripada keluasan negeri ini.

Timbalan Pengarah JHS, Jack Liam, berkata jumlah itu bersamaan dengan 7.8 juta hektar daripada 12.4 juta hektar, sekali gus mengekalkan status kehijauan Sarawak.

Menurutnya, seluas 4.3 juta hektar berjaya diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) di seluruh Sarawak.

“Tambahan kepada itu, 0.8 juta hektar kawasan diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya @ Totally Protected Areas yang meliputi Taman Negara, Rizab Semulajadi dan Santuari Hidupan Liar.

“Seluas 621,000 hektar kawasan lesen atau Unit Pengurusan Hutan (FMU) mendapat pengiktirafan Skim Persijilan Perkayuan (MTCS), sebuah badan persijilan hutan terbesar di dunia,” katanya pada program Forest Run Sarikei di sini, semalam.

Program yang bermula jam 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing; Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad, Dato’ Wong Sie Yong dan Timbalan Residen, Abang Porkan Budiman.

Jack berkata, kejayaan JHS itu membuktikan hutan Sarawak diurus secara berkekalan pada standard yang tertinggi dan mematuhi kriteria ketat.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pengeluaran hasil hutan atau balak adalah penyumbang besar dengan purata RM500 juta setahun manakala industri perhutanan dan perkayuan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 100,000 orang.

“Berdasarkan keunikan alam semula jadi termasuk gua, Kerajaan Sarawak mencalonkan Taman Negara Gunung Mulu, yang berjaya disenaraikan sebagai khazanah warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Begitu juga, Kuching Wetland National Park disenaraikan sebagai Tapak Ramsar iaitu kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan secara global.

“Justeru, saya menggesa supaya kita berganding bahu bagi memastikan hutan di negeri ini kekal terpelihara dan mampu melaksanakan segala fungsinya untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Berita Harian X