Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:53am
LORI yang sarat dengan mercun dan bunga api yang dirampas kastam yang ditahan di Jalan Kuching-Sri Aman. - Foto ihsan Kastam
LORI yang sarat dengan mercun dan bunga api yang dirampas kastam yang ditahan di Jalan Kuching-Sri Aman. - Foto ihsan Kastam

Kastam Sarawak rampas lebih 1 tan mercun, bunga api

KUCHING: Cubaan penyeludup menyembunyikan mercun dan bunga api di bawah timbunan kotak makanan dan tong minyak gagal memperdayakan pihak berkuasa selepas lebih satu tan bahan larangan itu ditemui dalam lori yang sarat dengan muatan kelmarin.

Lori berkenaan ditahan sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di di Jalan Kuching - Sri Aman pada jam 4.30 pagi.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata pihaknya mengesan pergerakan lori berkenaan susulan maklumat diterima mengenai barangan dibawanya yang mencurigakan.

Selepas melakukan penjejakan dan intipan, katanya, anggota penguat kuasa JKDM kemudian memintas lori berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemui 30 kotak yang mencurigakan disorok di bawah timbunan kotak berisi makanan dan tong minyak hitam kenderaan.

“Selepas diperiksa, didapati kesemua kotak itu mengandungi 720 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama seberat 1,116 kilogram dipercayai dibawa masuk ke negeri ini secara tidak sah.

“Mercun dan bunga api itu kemudiannya dirampas dan nilainya dianggarkan RM34,980, manakala amaun cukai kastam pula dianggarkan sebanyak RM22,737,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

JKDM Sarawak melancarkan Ops Sinar yang dilaksanakan mulai 1 Oktober hibgga 30 Oktober ini bagi mengesan penyeludupan mercun dan bunga api sempena perayaan Deepavali.

Sharifah Halimah berkata, lori serta pemandu dan seorang kelindannya kemudian dibawa ke pejabat JKDM Kuching untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam 1967, termasuk mengenal pasti dari mana bekalan mercun dan bunga api itu diperoleh.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol JKDM 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.

“Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X