Selasa, 22 Oktober 2019 | 11:36am
MOHD Khairi Harun rebah ketika bermain futsal sebelum meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang malam tadi. - Foto Ramli Ibrahim
MOHD Khairi Harun rebah ketika bermain futsal sebelum meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang malam tadi. - Foto Ramli Ibrahim

Alami serangan jantung, meninggal dunia ketika bermain futsal

GUA MUSANG: EXCO Majlis Belia Jajahan Gua Musang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bermain futsal di Gelanggang Futsal KESEDAR, di sini malam semalam.

Mohd Khairi Harun, 31, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang pada jam 10.10 malam.

Abangnya, Zamzani Harun, 48, berkata ketika kejadian adiknya sedang bermain futsal dengan beberapa rakannya sebelum mengalami sesak nafas dan rebah.

“Ketika kejadian, arwah baru lima minit bermain sebelum tiba-tiba mengalami sesak nafas. Dia kemudian rebah dan tidak sedarkan diri.

“Adik saya kemudian dikejarkan ke Hospital Gua Musang sebelum disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu adiknya itu pada minggu lalu.

“Saya terkejut dimaklumkan perkara itu kerana adik tiada sebarang penyakit. Arwah tinggal di Kampung Tiong dan terkenal sebagai peniaga nasi kerabu golok di situ,” katanya.

Berita Harian X