Selasa, 22 Oktober 2019 | 3:09pm
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi (dua, kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (tiga, kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Prof Madya Dr Mohd Fazil Mohd Akhir (kanan) mengenai fosil tumbuhan yang dianggarkan berusia 300 juta tahun pada majlis penyerahan fosil kepada UMT hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu Wan Saifulbahri Wan Mohammad (kiri). - Foto BERNAMA

UMT terajui penyelidikan, penerokaan khazanah laut

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memperluaskan lagi kajian dan penyelidikan dalam menerajui pembangunan modal insan berdasarkan tujahan universiti dalam bidang geologi berkaitan penerokaan lautan serta minyak dan gas (O&G).

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata UMT juga melihat kepada penerokaan khazanah dasar laut sebagai warisan yang perlu dipelihara.

Justeru, beliau berkata ia memerlukan kepakaran dalam universiti dan pihak luar termasuk kerajaan dan komuniti untuk menjayakannya.

Perkara yang perlu diberi perhatian termasuk aspek perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.

“UMT baru memulakan program Geologi Marin tahun ini, namun kajian mengenainya sudah lama berjalan. Saya percaya pakar dalam bidang ini dapat dibangunkan khususnya berkaitan isu menangani pemeliharaan khazanah laut negara.

“Malah di UMT, kita mempunyai unit di bawah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) untuk melihat tadbir urus khazanah negara ini khususnya berkaitan kelautan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kursus Geologi Pantai: Hakisan Pantai dan Sumber, di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi.

Pada Majlis sama, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut menyerahkan fosil tumbuhan, Cathaysian yang ditemui ketika kerja-kerja pembinaan Empangan Paya Peda, Jertih, pada 2013.

Penemuan fosil berusia 300 juta tahun ini dijumpai dalam keadaan lengkap daripada akar hingga pucuknya dipercayai fosil tumbuhan tertua di Malaysia dan dikatakan wujud sebelum zaman dinasour.

Nor Aieni berkata, penemuan fosil tumbuhan terbabit dan penyerahannya kepada UMT membolehkan kajian dan penyelidikan saintifik dijalankan secara lebih berkesan untuk melihatnya daripada pelbagai aspek.

Malah katanya, UMT akan mengadakan program ‘Fossil Hunting’ pada Januari tahun depan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini sebagai usaha pencarian dan penyelidikan berkaitan.

“Saya percaya banyak lagi spesimen fosil akan dijumpai membolehkan kajian dilakukan seterusnya membuka peluang dalam bidang pelancongan malah ramai saintis akan berlumba-lumba datang ke Terengganu.

“Penemuan terbabit juga membolehkan kita menimba ilmu dan menguruskannya serta menghargai khazanah alam ini menerusi penerbitan bahan secara saintifik dan juga pendedahan kepada masyarakat,” katanya.

Berita Harian X