Rabu, 23 Oktober 2019 | 6:47pm
Mukhriz pada sesi soal jawab hari ke-4, Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. - NSTP/Amran Hamid

Kedah masih boleh mohon pinjaman Persekutuan

ALOR SETAR: Beban hutang yang tinggi kepada Kerajaan Persekutuan berbanding negeri lain tidak memberi kesan kepada Kedah untuk memohon pinjaman baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menegaskan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan Kedah terus memohon bantuan kewangan pada masa hadapan.

“Kita mempunyai sumber pendapatan terhad dan seperti diketahui, Kedah adalah antara tiga negeri termiskin. Kita juga sudah menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Ulu Muda bagi tujuan menjaga bekalan air.

“Sehingga kini, kita masih mengadakan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan ganti rugi selepas tidak lagi mendapat hasil menebang balak, namun kata putus mengenainya belum diperoleh” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Isa Shafei (PAS-Belantek) yang bertanya mengenai jumlah hutang kerajaan negeri dan bagaimana cara kerajaan negeri membayar hutang berkenaan.

Mukhriz menjelaskan, ketika ini kerajaan negeri menanggung hutang lebih RM2.6 bilion kepada Kerajaan Persekutuan dengan pinjaman tertinggi adalah membabitkan pinjaman bekalan air berjumlah RM1.8 billion.

Katanya, kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan pinjaman berkaitan bekalan air di kawasan luar bandar dapat ditukar menjadi geran bagi mengurangkan bebanan hutang.

“Jumlah yang sepatutnya dibayar balik kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan setiap tahun adalah sebanyak RM133 juta, namun ia bergantung kepada kemampuan kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju mempertimbangkan pinjaman berkaitan bekalan air bermula 2001 sehingga 2018 untuk dijadikan sebagai geran,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat masalah bagi pinjaman yang dibuat sebelum 2001 yang dibuat di luar negara kerana sukar bagi menukarkannya kepada geran.

Selain hutang bekalan air, kerajaan negeri turut perlu membayar hutang di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah sebanyak RM269.1 juta, Pinjaman Perumahan Awam Kos Rendah sebanyak RM170.6 juta dan pelbagai hutang lain berjumlah RM416.2 juta.

Berita Harian X