Khamis, 24 Oktober 2019 | 12:51pm
Gambar fail, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Gambar fail, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan pada Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2019 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Sarawak bakal guna kereta hidrogen

KUCHING: Penggunaan kereta hidrogen akan diperkenalkan di Sarawak sebaik sahaja semua stesen isian semula bahan api kenderaan berkenaan dibina.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sebagai perintis kerajaan negeri akan membina lima stesen isian semula bahan api hidrogen, yang juga boleh digunakan oleh orang awam.

“Kita merancang membina lima stesen di seluruh negeri secara berperingkat dan sebaik semua stesen ada, maka kereta menggunakan hidrogen boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Ekspo Rekaan, Inovasi dan Ciptaan Sarawak (SIIDEx) 2019 di Pusat Konvensyen CIDB di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee dan Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dato Dr Jamil Hamali.

Menurut Abang Johari, selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai kegunaan bas hidrogen, kerajaan negeri juga menjadikan penggunaan hidrogen untuk kereta sebagai sebahagian daripada R&D itu.

Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan kereta hidrogen di Sarawak mungkin mengambil masa bergantung kepada hasil daripada penyelidikan yang dilakukan.

Sementara itu, beliau yang tiba di majlis berkenaan menggunakan kereta Hyundai Nexo iaitu kereta keluaran Korea Selatan yang menggunakan bahan api hidrogen,menarik perhatian para hadirin termasuk media.

Memberitahu mengenai kereta berkenaan, Abang Johari berkata, ia menjadi sebahagian daripada proses R&D Sarawak di mana pemanduannya sangat lancar, senyap serta sifar pelepasan bahan bakar.

“Apa yang penting kereta ini adalah menggunakan bahan api hidrogen dan ia menjadi sebahagian daripada proses R&D kita, dan kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti.

“Namun dari segi keselamatan, ia sangat selamat,” katanya sambil menambah harga kenderaan berkenaan lebih murah berbanding Mercedez Benz, iaitu kereta rasmi beliau.

Berita Harian X