Khamis, 24 Oktober 2019 | 5:09pm
MENTERI besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (lima kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM4,585,000 kepada empat wakil guru dari sekolah jenis kebangsaan Tamil turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said (empat kanan), Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Summugam Rengasamy (tiga kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh (enam kanan) di Majlis Penyerahan Peruntukan Penyelenggaraan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. NSTP/Sharul Hafiz Zam

45 sekolah tahfiz di Kedah terima bantuan lebih RM2.85 juta

ALOR SETAR: Sebanyak 45 sekolah tahfiz di negeri ini menerima bantuan lebih RM2.85 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2019 bagi memastikan kebajikan dan hal ehwal pelajar terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata 15 institusi pondok turut menerima peruntukan sama berjumlah RM2.4 juta.

“Bantuan yang diperolehi itu adalah hasil permohonan yang dikemukakan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Kedah adalah negeri kedua tertinggi yang membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan yang disediakan berbentuk penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur dan saya harap lebih banyak sekolah tahfiz dan pondok akan membuat permohonan bagi penambahbaikan institusi pengajian,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang bertanya jumlah institusi tahfiz dan pondok yang menerima peruntukan di bawah Belanjawan 2019.

Dr Ismail berkata, kerajaan negeri turut akan menyalurkan bantuan dengan meningkatkan kuota guru berdasarkan peruntukan Belanjawan Kedah 2020.

“Ini adalah antara fokus kerajaan negeri kerana kebanyakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) memerlukan lebih ramai guru bagi memudahkan pembelajaran.

“Tahun depan, kita ada bajet RM11 juta untuk tujuan ini dan perancangan pertambahan guru akan diberikan perhatian,” katanya.

Berita Harian X