Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:44am
KETUA Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani. - Foto Faiz Anuar
KETUA Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani. - Foto Faiz Anuar

Batas ban tidak kukuh boleh bahayakan penduduk

KLANG: Pintu air Sungai Keramat di sini yang lebih rendah dengan struktur batas ban tidak kukuh air, mencetuskan kebimbangan bomba terhadap keselamatan penduduk sekitarnya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata walaupun ban di kawasan itu sudah ditambak dan dibaik pulih, namun air dikesan masih mengalir serta meresapi dinding tanahnya menerusi lubang-lubang ketam.

“Lubang ketam itu memang tidak nampak pada mata kasar tetapi setiap kali air pasang besar, akan nampak basah dan meresap pada ban itu dipercayai itu keluar dari lubang ketam, keadaan ini berisiko meruntuhkan ban.

“Bila keadaan ini berlaku, bermakna ban itu tidak ditebat dengan betul. Kebimbangan kami, apabila ban pecah, air akan melimpah dengan banyak kerana tekanan daripada laut walaupun ada paya bakau yang boleh menampannya,” katanya.

Sebelum itu, Berita Harian (BH) menyertai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Bonny Martin dan anggotanya membuat tinjauan sekitar ban serta kunci air yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai terbabit.

Bagaimanapun ketika tinjauan paras yang air surut dan berada di bawah tahap yang membimbangkan.

Samsol Maarif berkata, selain keadaan ban, ketinggian pintu kunci air yang lebih rendah daripadanya juga menjadi kebimbangan mereka.

“Ketinggian ban adalah 6 meter, tetapi pintu kunci air 5.6 meter sahaja, jika berlaku pasang besar, air pasti akan melimpah masuk ke kampung dalam tempoh satu hingga dua jam melepasi kunci pintu air itu.

“Pada masa sama, jika berlaku hujan petang atau pagi di kampung, air tidak boleh keluar dan bertembung pula dengan air pasang akan menyebabkan banjir.

“Sepatutnya binaan pintu kunci air perlu melebihi ketinggian paras air iaitu 6 meter, saya dimaklumkan pihak Jurutera Daerah akan baik pulih selepas fenomena air pasang besar nanti,” katanya.

Sementara itu, Bonny sudah mengerahkan anggotanya bersiap sedia di lokasi panas yang dikenal pasti lebih awal lagi ketika fenomena air pasang besar.

”Sekarang pun kami sudah bersedia, tetapi pada 27 hingga 30 Oktober anggota memang akan berada di lokasi panas termasuk di kawasan ban ini,” katanya.

Berita Harian X