Isnin, 28 Oktober 2019 | 6:17pm
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kerajaan Pulau Pinang terima 95,125 bantahan kenaikan kadar penilaian hartanah

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerima sejumlah 95,125 bantahan berhubung peningkatan kadar penilaian hartanah, sepanjang tempoh rayuan yang tamat pada 14 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masing menerima 54,459 dan 40,666 bantahan.

“Sesi pertama pendengaran bantahan akan bermula esok bagi bahagian pulau serta tanah besar antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari. Ia akan berterusan hingga Mac tahun depan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, 60 bantahan yang diterima MBPP akan diproses di Dewan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, sementara MBSP pula memproses 289 rayuan di Kompleks Sukan Bertam.

“Dari semasa ke semasa, MBPP akan mempunyai tiga jawatankuasa di tiga lokasi berbeza di pulau bagi sesi pendengaran, manakala MBSP ada enam jawatankuasa di empat lokasi di tanah besar,” katanya.

Beliau berkata, pemilik hartanah yang sudah mengemukakan rayuan akan menerima notis mengenai tarikh sesi pendengaran rayuan yang perlu mereka hadiri. – BERNAMA

Berita Harian X