Isnin, 28 Oktober 2019 | 6:30pm
Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya menangkap gajah jantan (tengah) yang merosakkan tanaman sawit. - NSTP/Rosli Ilham

PERHILITAN tangkap gajah rosakkan kelapa sawit

CHUKAI: Masalah gajah yang merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk di FELDA Neram 2, di sini, berakhir selepas haiwan berkenaan berjaya ditangkap, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusof, berkata pihaknya berjaya menangkap gajah jantan seberat lima tan, pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, tindakan itu dilakukan susulan aduan mengenai gajah liar tersesat masuk ke ladang sawit berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Selepas menerima aduan, kami menjalankan pemantauan bagi mengesan haiwan itu namun gagal menemuinya.

“Bagaimanapun, dua minggu lalu kami menerima aduan seekor gajah jantan merayau-rayau mencari makanan di kawasan ladang sawit mereka.

“Susulan itu, kami terus menghantar tujuh anggota bagi membuat pemantauan di ladang sawit terbabit sebelum menemui gajah berkenaan semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membawa dua gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang bagi menangkap gajah jantan berkenaan.

“Dua gajah betina itu berjaya ‘memikat’ gajah jantan terbabit hanya beberapa jam sebelum kita berjaya menangkapnya dengan suntikan pelali.

“Gajah jantan terbabit serta dua gajah denak itu dibawa naik ke atas sebuah lori khas sebelum di hantar ke hutan taman negara untuk dilepaskan,” katanya.

Abdul Malik berkata, siasatan awal mendapati gajah liar berkenaan dipercayai datang dari Hutan Simpan berhampiran dan tersesat dari kumpulannya.

“Operasi menangkap dan memindahkan gajah liar itu bermula kira-kira jam 9 pagi tadi berakhir jam 1 tengah hari tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.

Berita Harian X