Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:47pm
ZUBAIDAH (dua kiri) akan mengambil alih sementara menjaga adiknya, Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Kerdas, Tok Bok. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
ZUBAIDAH (dua kiri) akan mengambil alih sementara menjaga adiknya, Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Kerdas, Tok Bok. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

'Kami tak akan mampu jaga Syafiqah seperti arwah ibu'

MACHANG: “Kami adik-beradik tidak akan mampu untuk mengurus serta menjaga Syafiqah seperti arwah ibu menjaganya sebelum ini,” kata Zubaidah Hassan, 45, kakak kepada Siti Nurul Syafiqah Hassan, 13, yang menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala.

Jika sebelum ini, Siti Nurul Syafiqah dijaga sepenuhnya oleh ibu mereka, Rosnani Mohamad, 41, sebelum ibu mereka meninggal dunia jam 3.50 petang kelmarin akibat sesak nafas.

Zubaidah yang juga kakak sulung daripada 10 adik beradik itu berkata, walaupun berlainan ibu, dia akan menjaga dan menguruskan keperluan Syafiqah buat sementara waktu kerana permohonan untuk menyerahkan adiknya itu kepada mana-mana pusat jagaan masih dalam proses.

Katanya, jika diikutkan memang dia terasa berat hati untuk menyerahkan Syafiqah kepada orang lain, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain dan apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan adiknya.

“Tujuh beradik lain menetap di Kuala Lumpur manakala selebihnya tinggal di sini dan dalam kalangan kami, ada yang mempunyai tanggungan serta tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

“Saya dan suami hanya bergantung kepada hasil jualan getah untuk menyara dua anak yang berusia sembilan dan 17 tahun. Kami tidak mahu keperluan Syafiqah terabai kerana desakan hidup (kami),” katanya ditemui di rumah mereka di Kampung Pangkal Kerdas, Tok Bok, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Siti Nurul Syafiqah yang disahkan menghidap penyakit hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala ketika berusia tujuh bulan.

Disebabkan penyakit yang dihidapi itu, Syafiqah terlantar serta tidak mampu bergerak bebas seperti remaja lain seusianya.

Sebelum ini, arwah Rosnani menjaga Syafiqah bersama suami keduanya, Osman Kasim, 62, sejak empat tahun lalu selepas kematian arwah suaminya yang terdahulu pada 2012 disebabkan penyakit paru-paru berair.

Selepas arwah Rosnani meninggal dunia, Syafiqah seolah-olah mengerti bahawa ibu yang menjaga serta menguruskannya selama ini sudah tiada.

“Walaupun Syafiqah tidak dapat bercakap, saya selalu mendengar suaranya memanggil ‘mi’ (panggilan kepada arwah) dan dia menangis kerana terlalu rindukan arwah ibunya,” katanya.

Berita Harian X