Selasa, 29 Oktober 2019 | 7:17pm
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar ketika menghadiri majlis Program Penghantaran Barang Keperluan Banjir Ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang. - NSTP/Imran Makhzan

Bekalan makanan hadapi musim tengkujuh diagih

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 33.8 tan stok bekalan makanan bagi menampung keperluan mangsa banjir di negeri ini sudah diagih ke 152 pangkalan hadapan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar, berkata 15 jenis barangan makanan yang disediakan termasuk beras, makanan dalam tin seperti sardin dan kari ayam, minyak masak, gula dan air mineral untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, JKM menerima peruntukan RM1.4 juta untuk tujuan itu, termasuk bagi menyediakan keperluan asas lain untuk mangsa banjir di PPS.

“Kita sudah mengagihkan bantuan makanan dan keperluan ini ke pangkalan hadapan sejak pertengahan bulan ini.

“Bekalan yang disediakan mencukupi untuk menampung keperluan antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada situasi banjir yang melanda kawasan terjejas,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengendalikan urusan penghantaran barang makanan dan keperluan banjir ke pangkalan hadapan Pulau Redang di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Sekiranya situasi banjir luar jangka melanda Terengganu kali ini, Zuhami yakin bantuan bekalan makanan mencukupi berdasarkan mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan syarikat pembekal utama.

“Kita sudah mengenal pasti pembekal utama termasuk di setiap daerah. Sekiranya banjir berlaku melebihi tempoh, bekalan boleh diperoleh di kawasan terdekat lain,” katanya.

Mengulas bantuan ke pangkalan hadapan di Pulau Redang, beliau berkata, sejumlah 3.8 tan makanan disalurkan ke pulau terbabit bagi menampung keperluan 2,000 penduduk di pulau itu yang terputus hubungan sepanjang musim tengkujuh.

“Sekiranya bekalan tidak mencukupi, kita akan mendapatkan bantuan daripada Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membolehkan bantuan tambahan dihantar ke Pulau Redang,” katanya.

Berita Harian X