Rabu, 30 Oktober 2019 | 5:47pm
FAUZIAH Dollah bersama cucunya, Muhammad Arfan Ziqri ketika ditemui di Jalan Taman Sri Talang, Kadok, Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
FAUZIAH Dollah bersama cucunya, Muhammad Arfan Ziqri ketika ditemui di Jalan Taman Sri Talang, Kadok, Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Muhammad Arfan panggil ibu dalam tidur

KOTA BHARU: “Saya sedih mendengar Muhammad Arfan Ziqri malam tadi mula mengigau, sambil memanggil ibunya. Mungkin kerana terlalu rindukan ibunya”.

Demikian luah Fauziah Dollah, 63, iaitu ibu kepada Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, yang maut bersama suaminya, Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, dalam kejadian di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Katanya, siapa yang tidak sedih mengenangkan nasib cucunya yang kini yatim piatu, lebih-lebih lagi Muahmmad Arfan Ziqri baru berusia setahun 10 bulan.

“Saya dan suami, Kamaruddin Harun, 60, akan menjaga cucu kami dengan penuh kasih sayang memandangkan Arfan Ziqri sangat rapat dengan saya sekeluarga, terutama anak bongsu, Diana, 25.

“Selepas kehilangan kedua ibu bapa, Arfan seperti tercari-cari ibu dan abinya dan tidak ceria seperti selalu. Dia juga kurang minum susu dan hari ini baru nampak wajahnya ceria sedikit kemungkinan gembira dengan kehadiran orang ramai di rumah kami.

“Walaupun sedih dengan nasib cucu tetapi saya reda dengan pemergian anak dan menantu dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jalan Taman Sri Talang, Kadok di sini, hari ini.

Menurutnya, arwah anak dan menantu kerap pulang ke kampung apabila mereka cuti dan tiada perubahan yang mereka tunjukkan ketika pulang September lalu.

Katanya, begitu juga ketika mereka bercakap di telefon, tiada pesanan yang ditinggalkan oleh anaknya itu.

“Arwah menantu kerap menghantar isterinya ke tempat kerja di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur dari rumah mereka di Shah Alam.

“Jika suaminya bekerja, arwah anak akan pergi dan balik kerja dengan menaiki kereta api komuter,” katanya.

Berita Harian X