Jumaat, 1 November 2019 | 9:19am
Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung di galeri 'sky bridge' Jambatan Angkat. - Foto BERNAMA

Pelbagai acara menarik gamit pelancong ke jambatan angkat

KUALA TERENGGANU: Meskipun banjir diramal melanda pantai timur hujung tahun ini, namun pusat bandar Kuala Terengganu dijangka tidak akan lengang dengan kehadiran pelancong apabila pelbagai program bakal diadakan di jambatan angkat dan kawasan sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud, berkata antara yang dirancang adalah penganjuran taman tema mini dan acara sukan lasak seperti cabaran ‘Ninja Warrior’ di sebelah muara utara Jambatan Angkat pada pertengahan November ini sehingga Februari 2020.

“Kita hendak uar-uarkan kepada orang ramai bahawa musim monsun ini bukanlah sesuatu yang perlu dielak. Ia adalah sesuatu yang kita perlu ‘enjoy’ (nikmati) bersama. Kita hendak tukar supaya ia (monsun) tidak menjadi satu perkara yang membuatkan pelancong takut hendak datang ke Terengganu.

“Mungkin pulau-pulau tidak boleh dilawati pada musim monsun jadi pelancong boleh datang ke pusat bandar ini. Malah sejak beberapa tahun ini pusat bandar Kuala Terengganu juga didapati bebas daripada banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jambatan Angkat, di sini.

Penganjuran kedua-dua acara itu turut membuka ruang rezeki kepada peniaga tempatan untuk membuka kendera saji atau food truck di situ.

“Kita telah berjumpa dengan persatuan kendera saji di negeri ini dan mereka telah bersetuju untuk berniaga di kawasan ini apabila bermulanya taman tema mini nanti. Setakat ini, sebanyak 50 pengusaha kendera saji bersetuju untuk berniaga di sini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun hanya dibuka pertengahan September lepas, galeri ‘sky bridge’ di Jambatan Angkat menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Terengganu malah dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Sehingga kini, galeri yang terletak di bahagian paling atas jambatan tersebut telah menerima kedatangan lebih 19,000 pelancong yang mana jumlah pelancong mencecah sehingga 2,000 orang sehari terutama pada hujung minggu.

“Bagi (memastikan) ianya terus menerima sambutan, kita akan tukar tema pameran di galeri ‘sky bridge’ dari semasa ke semasa. Buat masa ini, kita pamerkan lukisan-lukisan pelukis tempatan, selepas ini kita akan pamerkan arca-arca daripada pelajar UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan pameran artifak Rasulullah S.A.W.

“Kita juga menerima banyak permintaan daripada syarikat-syarikat untuk membuat pertunjukan di galeri ini, namun kita terpaksa merancang dengan teliti dan pastikan semuanya dapat dijalankan mengikut jadual,” katanya.

Bagi penduduk Terengganu, pastinya jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu menimbulkan rasa bangga sehingga ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin melihat Jambatan Angkat dengan lebih dekat.

Seorang penjawat awam Muhammad Hafsham Hanapi, 45, yang tinggal di Jertih berkata beliau tertarik untuk berkunjung ke Jambatan Angkat setelah melihat foto-foto cantik kenalannya yang berlatarbelakangkan jambatan tersebut di laman sosial.

“Kebetulan pula hari ini saya menghantar isteri berkursus di Setiu, jadi sementara menunggu isteri habis kursus saya mengambil peluang datang ke Kuala Terengganu melihat sendiri Jambatan Angkat ini dengan anak-anak walaupun terpaksa memandu selama satu jam dari Setiu,” katanya yang datang bersama tiga anak lelakinya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nuradilah Ahmad Zaki, 22, berkata harga tiket galeri ‘sky bridge’ sebanyak RM5 untuk semua warganegara manakala bagi bukan warganegara sebanyak RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak, adalah sangat berbaloi.

“Dengan harga serendah itu pengunjung bukan sahaja dapat melihat pameran di sini tetapi juga dapat merasai pengalaman berada di atas lantai kaca setinggi 16 tingkat,” kata pelajar Universiti Malaysia Terengganu itu. – BERNAMA

Berita Harian X