Jumaat, 1 November 2019 | 2:57pm
KETUA Jabatan Penciptaan Digital dan Platform Pengedaran SKMM, Azlina Mohd Yusof (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai SKMM selepas menyaksikan peralihan siaran analog ke siaran digital, di stesen pemancar Bukit Lima, Sibu. - Foto Harun Yahya.
KETUA Jabatan Penciptaan Digital dan Platform Pengedaran SKMM, Azlina Mohd Yusof (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai SKMM selepas menyaksikan peralihan siaran analog ke siaran digital, di stesen pemancar Bukit Lima, Sibu. - Foto Harun Yahya.

SKMM pantau peralihan sistem siaran digital

SIBU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan pemantauan selama seminggu bagi melihat isu yang timbul dan reaksi rakyat berhubung peralihan sistem siaran analog ke digital yang bermula di seluruh Sarawak tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Penciptaan Digital dan Platform Pengedaran SKMM, Azlina Mohd Yusof, berkata pemantauan seminggu itu untuk memastikan sistem televisyen digital stabil dan tiada masalah dari segi peralihan.

“SKMM juga akan memantau isu liputan dan penerimaan siaran selain menilai aduan dari orang ramai.

“Bermula awal pagi tadi, kita menyaksikan peralihan ke siaran televisyen digital dengan skrin statik yang memaparkan mesej beralihlah ke siaran tv digital dipaparkan.

Siaran televisyen analog tamat selepas jam 12:30 malam sejurus tamat siaran RTM, TV3 dan saluran Media Prima lain,” katanya.

Azlina berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penutupan siaran analog bagi Sarawak, yang diadakan di Stesen Pemancar Analog Bukit Lima di sini, hari ini.

Beliau berkata, grafik statik itu akan berterusan selama seminggu sebelum televisyen yang tidak mempunyai dekoder menunjukkan bintik-bintik hitam putih.

Bagi rakyat Sarawak, katanya, mereka digalakkan menelefon MYtvcareline di nombor 1800 18 1088 atau melayari www.myfreeview.tv untuk melihat sama ada mereka layak mendapatkan dekoder percuma.

“Bagi yang bukan dalam kalangan B40, mereka digalakkan mendapatkan dekoder dan antena VHF di kedai elektrik berhampiran,” katanya

Tambah Azlina, stesen terbabit dipilih kerana ia antara stesen pemancar utama dan memiliki jalan akses yang baik bagi memudahkan penganjuran majlis itu.

Selain stesen Bukit Lima Sibu, 25 buah stesen pemancar analog lain seluruh Sarawak dari Bukit Serapi di Kuching ke Bukit Mas di Limbang turut menutup serentak sistem siaran analog berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X