Jumaat, 1 November 2019 | 6:41pm
ZAILANI Ismail menunjukkan hidangan yang dijual dengan harga RM1 di tepi jalan di Kampung Delima. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Rezeki berganda berkat jual makanan RM1 semangkuk

TUMPAT: Sejak kisahnya yang menjual mi, bihun, kuetiau sup dan bubur nasi dengan harga RM1 semangkuk dipaparkan akhbar, premis milik Zailani Ismail, kini `tidak menang tangan’ melayan pelanggan.

Berikutan itu, Zailani, 47, terpaksa menambah bahan mentah berkali ganda dan mengupah beberapa pekerja untuk membantunya di kedai.

Beliau berkata, sebanyak 20 ekor ayam sehari digunakan sebagai lauk dalam menu RM1 itu berbanding sebelum viral iaitu hanya seekor.

“Begitu juga dengan bihun, mi kuning dan kuetiau yang perlu dibeli secara kotak berbanding sebelum ini hanya beberapa plastik untuk sehari.

“Sejak dipaparkan menerusi akhbar dan televisyen baru-baru ini, sambutannya hanya Allah yang tahu. Pelanggan datang bertali arus bukan sahaja dari kawasan sekitar tetapi luar daerah.

“Ada yang datang dari Jeli, Kota Bharu malah dari Setiu serta Jerteh, Terengganu semata-mata untuk mencuba menu RM1 ini,” katanya ketika ditemui di kedainya, di sini, hari ini.

Zailani berkata, dia turut berdepan kerenah pelanggan yang terpaksa menunggu lama untuk menikmati hidangan.

“Sebelum ini hanya saya, isteri dan anak serta seorang pembantu yang bekerja di sini. Kini saya mula menambah tiga pekerja kerana tugas semakin bertambah.

“Masing-masing ada tugasan yang mana saya dan isteri menyediakan bahan mentah dan rempah ratus, anak menjaga bahagian juadah yang ditempah manakala yang lain mengambil pesanan dan membuat air,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian hampir dua jam di premis yang dinamakan Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima itu, banyak kenderaan dilihat diletakkan di tepi jalan dan pelanggan tidak putus datang untuk mencuba menu RM1 di kedai berkenaan.

Zailani berkata, dia tidak bercadang menambah meja dan kerusi berikutan premis itu letaknya berhampiran jalan utama.

“Saya harap mereka dapat letak kenderaan dengan betul dan tidak sampai memasuki garisan jalan utama,” katanya.

Berita Harian X