Jumaat, 1 November 2019 | 11:30pm

Bekalan air di Hulu Langat, ibu negara pulih Ahad ini

KUALA LUMPUR: Kawasan Hulu Langat dan Kuala Lumpur yang mengalami gangguan bekalan air susulan masalah teknikal ‘bandscreen’ (sistem penapisan air mentah) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, jangkaan dibuat selepas kerosakan ‘bandscreen’ di LRA itu dapat diatasi apabila kerja pembaikan selesai dilakukan hari ini.

“Proses meningkatkan tekanan dan menstabilkan paras kolam perkhidmatan serta aliran di sistem agihan giat dilaksanakan bagi proses pemulihan bekalan secara berperingkat.

“Masa pemulihan bergantung kepada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan. Bantuan lori tangki air akan terus digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan itu boleh dirujuk melalui aplikasi Air Selangor atau melayari www.airselangor.com.

“Pelanggan boleh menghubungi kami di talian 15300 untuk bantuan atau menghantar pesanan WhatsApp ke 019-281 6793 /019-280 0919 bagi kes kritikal dan kecemasan,” kata kenyataan itu.

Pagi tadi, gangguan air tidak berjadual berlaku di 156 kawasan di Hulu Langat dan Kuala Lumpur sehingga menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat sebanyak 179 juta liter sehari. – BERNAMA

Berita Harian X