Ahad, 3 November 2019 | 2:47pm
PESERTA Kejohanan Boling Tahunan Worldwide Landfills Sdn Bhd (WLSB) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) ceria sebelum memulakan aksi di Sunway Mega lane, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, semalam.

42 pasukan berentap boling Worldwide Landfills

PETALING JAYA: Sebanyak 42 pasukan beraksi pada Kejohanan Boling Tahunan Worldwide Landfills Sdn Bhd (WLSB) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sunway Mega lane, Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini, semalam.

Peserta adalah terdiri dari pegawai-pegawai pejabat pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor dan agensi kerajaan yang terbabit dengan aktiviti pengurusan alam sekitar.

Ketua Pegawai Operasi (Alam Sekitar), Worldwide Holdings Berhad, Zamri Abdul Rahman, berkata pertandingan itu dianjurkan sebagai salah satu acara penting di dalam kalendar tahunan bagi merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak PBT yang banyak membantu urusan kerja dan memberi sokongan kepada syarikat itu.

“Kita juga menghargai peranan pihak media yang membuat liputan bagi penganjuran program-program yang dianjurkan oleh Worldwide Landfills sepanjang tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan berkenaan amat dinanti-nanti oleh rakan-rakan PBT bagi merebut hadiah di samping dapat beramah mesra dan meningkatkan jaringan kerja di antara pihak penganjur.

”Program sebegini adalah salah satu platform berkesan bagi meningkatkan jaringan kerja dan perpaduan di samping dapat meningkatkan kecerdasan mental dan fizikal.

“Program sosial menerusi acara sukan sebegini perlu dipupuk dan dibudayakan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Hadir sama pengurusan kanan agensi kerajaan dan pengurusan kanan Worldwide Landfills dan juga wakil media.

WLSB adalah anak syarikat Worldwide Holdings Berhad, syarikat konglomerat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sementara itu, lapan pasukan teratas dan jatuhan pin tertinggi individu lelaki serta wanita menerima hadiah wang tunai.

Berita Harian X