Isnin, 4 November 2019 | 10:12am
SITI Norzurain Fatima bersama anaknya, Siti Nurjannah Umaira ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang. - Foto Roselan Abdul Malek

Derita Adik Siti Nurjanah dapat perhatian kariah masjid

JERANTUT: Penderitaan Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin, 2, yang mengidap tujuh penyakit mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk kariah Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini selepas kisahnya dilaporkan BH minggu lalu.

Siti Nurjannah mengidap ’sindrom vacterl’ hanya berlaku sekali dalam 4,000 kelahiran, dengan pelbagai penderitaan terpaksa ditanggung kanak-kanak istimewa itu sejak dilahirkan.

Ia menyebabkan masalah pada buah pinggang dan jantungnya, selain menjejaskan struktur tulang serta kesukaran untuk menelan atau bercakap.

Simpati dengan keadaan kanak-kanak itu, kariah Masjid Tengku Mahkota Abdullah mengambil keputusan membantu ibu bapa Siti Nurjannah, Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45, dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, untuk meringankan beban mereka.

Pengerusi Biro Cakna dan Kebajikan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Ikhtiman Ismail, berkata pihaknya terdorong menyalurkan bantuan selepas kisah keluarga itu disiarkan media, malah turut menghargai komitmen akhbar ini memaparkan kisah masyarakat.

“Kita berharap bantuan wang tunai bersama barang keperluan harian seperti bekalan makanan dan susu dapat membantu mengurangkan beban dtanggung keluarga ini,” katanya.

Keluarga Siti Nurjannah hanya bergantung kepada hasil jualan nasi lemak kerana bapanya tidak lagi boleh melakukan kerja berat kerana masalah saraf sejak lima tahun lalu hingga terpaksa meninggalkan pekerjaannya sebagai pendawai elektrik.

Sementara itu, Siti Norzurain berkata, anak bongsunya itu mengidap ’sindrom vacterl’ sejak dilahirkan hingga terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah selama empat bulan, seterusnya dipindahkan ke wad biasa sebelum boleh dibawa pulang.

“Siti Nurjannah terpaksa membuat pemeriksaan rawatan jantung dan buah pinggang setiap bulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, manakala tiga bulan sekali perlu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya [PPUM) untuk rawatan tulang,” katanya.

Beliau berkata, anaknya itu tidak mampu berjalan dan duduk, malah setiap pergerakannya perlu dibantu.

“Dia hanya boleh baring dan menggolekkan dirinya untuk bergerak dalam rumah. Dia juga tidak boleh makan sebarang makanan keras kecuali susu yang dimasukkan melalui tiub di hidungnya,” katanya.

Siti Norzurain berkata, anak sulungnya, Ahmad Adi Putra, 10, turut mempunyai masalah jantung berlubang tetapi semakin pulih selepas dua kali menjalani pembedahan sebelum ini.

Berita Harian X