Isnin, 4 November 2019 | 6:15pm
HALIMAH As Saadiah menunjukkan makanan yang dijual pada harga RM1.50 di gerai yang diusahakan bersama kakaknya di Kampung Sungai Limau, Lekir, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Berniaga sambil beramal, setiap hidangan RM1.50

SITIAWAN: Berpegang kepada prinsip bahawa setiap perniagaan pasti ada keuntungan dan berniaga sambil beramal, mendorong dua beradik untuk menawarkan pelbagai jenis makanan di gerai mereka pada harga serendah RM1.50.

Halimah As Saadiah M Kadiri, 29, dan kakaknya, Rabiah Assyamiah, 34, menyediakan lebih 10 menu seperti nasi lemak, laksa, mi, bihun dan kuetiau di Gerai RM1.50 yang diusahakan di Kampung Sungai Limau, Lekir, di sini, sejak setahun lalu.

Walaupun harga ditawarkan murah, dua beradik ini masih mengutamakan kualiti makanan bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

Menurut Halimah As Saadiah, ketika baru memulakan operasi hanya nasi lemak saja ditawarkan pada harga RM1.50 manakala lain-lain menu RM3.

“Sebenarnya semua ini adalah idea bapa kami M Kadiri Tahir, 68. Sejak tiga minggu lalu kami selaraskan semua harga makanan.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan, bukan saja orang kampung malah penduduk sekitar daerah ini singgah ke gerai kami untuk cuba menu ditawarkan.

“Kami tidak mahu berkira dengan pelanggan, berdasarkan maklum balas, ramai yang kata menu kami sedap dan berbaloi dengan wang dibelanjakan,” katanya ketika ditemui di gerainya, semalam.

Dua beradik ini turut menjual tiga jenis roti canai iaitu roti biasa, telur dan boom selain menu istimewa lempeng pisang gabungan pisang nangka serta mas pada harga sama.

Hidangan roti canai untuk RM1.50 adalah dua keping dan lempeng pisang pula hanya dijual pada Sabtu dan Ahad saja. Gerai itu beroperasi 7 pagi hingga 7 malam dan tutup pada Rabu.

Berita Harian X