Khamis, 7 November 2019 | 12:54pm
HEE Loy Sian (berdiri) berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
HEE Loy Sian (berdiri) berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Pemilik 'bubble tea' perlu lebih bertanggungjawab

SHAH ALAM: Pengusaha kedai ‘bubble tea’ perlu lebih bertanggungjawab dan bersama-sama membantu kerajaan negeri menangani isu lambakan sampah plastik di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian, berkata ini kerana trend minuman ‘bubble tea’ yang semakin popular menyebabkan tong sampah dipenuhi plastik minuman, sekali gus menyusahkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Trend minuman ini semakin meningkat terutama di kawasan Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kajang. Ia menghasilkan plastik yang banyak dan ini menyusahkan PBT.

“Kita tiada cadangan untuk menghentikan perniagaan ini tetapi kita harapkan dalam menjana keuntungan, pengusaha juga harus fikir bagaimana mahu membantu kerajaan mengurangkan penggunaan plastik,” katanya

Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Jamaliah ingin tahu pendirian kerajaan negeri berhubung perniagaan ‘bubble tea’ serta usaha menangani isu sampah plastik di negeri ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata Kerajaan Selangor akan mengadakan dialog bersama pengusaha minuman ‘bubble tea’ untuk mencari kaedah terbaik menangani isu penggunaan bekas minuman dan penyedut minuman pastik.

“Kita tidak bercadang untuk mengenakan kompaun terhadap premis makanan yang menyediakan penyedut minuman plastik. Ketika ini, kerajaan negeri masih lagi dalam fasa mendidik pengguna.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan akan mengenakan kompaun terhadap premis makanan yang menyediakan penyedut minuman plastik pada masa depan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X