Jumaat, 8 November 2019 | 10:41am
PENGARAH Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid memeriksa bot nelayan Vietnam yang dirampas kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut negara berhampiran perairan Kinabatangan, Sandakan. - Foto ihsan Maritim Malaysia

6 warga Vietnam ditahan ceroboh perairan

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam warga Vietnam kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut negara berhampiran perairan Kinabatangan, di sini.

Selain menceroboh, nelayan asing itu juga menggunakan peralatan diharamkan untuk menangkap balat.

Dalam kejadian Selasa lalu, Kapal Maritim Kota Belud mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan bergerak laju ketika cuba dihampiri, kira-kira jam 10 malam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid, berkata pasukan keselamatan terpaksa mengejar bot asing terbabit hampir sejam sebelum berjaya ditahan di kedudukan 15.5 batu nautika Timur Laut Kuala Kinabatangan Besar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua enam awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berumur antara 27 hingga 44 tahun disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

“Bot itu disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk menangkap balat secara haram dengan menggunakan peralatan besi direka khas yang ditarik sehingga sampai ke dasar laut menyebabkan kerosakan ekosistem terutama terumbu karang,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menurut Khairulanuar, ia kes keempat bot nelayan asing Vietnam yang mensasarkan tangkapan balat ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan.

Bot, peralatan dan hasil balat seberat satu tan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM 285,000 dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta perikanan 1985.

Berita Harian X