Jumaat, 8 November 2019 | 2:34pm
FOTO hiasan.

Tindakan tegas tangani kes pembakaran terbuka

PETRA JAYA: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak membuka sembilan kertas siasatan terhadap individu dan syarikat yang didapati melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu di negeri ini sepanjang tahun ini.

Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata tindakan itu bagi memudahkan proses pendakwaan di mahkamah, sekali gus memperlihatkan ketegasan kerajaan negeri dalam membendung kegiatan pembakaran terbuka.

Pada masa yang sama, katanya, NREB Sarawak turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM7,002 terhadap tujuh individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka tahun ini.

“Selain NREB, tindakan turut diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap mereka yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

“JAS mengeluarkan 10 kompaun berjumlah RM20,000 dan membuka satu kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Tiong Thai King (PSB - Dudong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Len Talif berkata, kerajaan negeri serius menangani isu alam sekitar, khususnya kegiatan pembakaran terbuka yang menyumbang keadaan berjerebu setiap tahun.

Justeru, Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar (Pindaan) 2019, yang diluluskan Selasa lalu meningkatkan lagi jumlah kompaun kepada RM100,000.

“Bagi meningkatkan keupayaan mengesan kualiti udara, kerajaan negeri juga menubuhkan empat stesen pemantauan kualiti udara baharu di Sarawak iaitu di Lawas, Lubok Antu, Tebedu dan Lundu,” katanya.

Mengulas mengenai masalah jerebu yang melanda negeri ini pada September lalu, Len Talif menjelaskan ia disebabkan oleh pergerakan jerebu rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia dan kebakaran hutan di negeri ini.

“Bagi jerebu rentas sempadan, ASEAN sudah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kementerian Sub-Wilayah (MSC) mengenai Jerebu Rentas Sempadan untuk merangka tindakan bagi menangani masalah itu.

“Jawatankuasa itu yang dianggotai oleh menteri alam sekitar dalam kalangan negara anggota (ASEAN) yang akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Malah, katanya, Kerajaan Persekutuan juga sudah mengemukakan nota diplomatik kepada Indonesia dalam usaha menangani masalah pembakaran hutan di negara itu yang mencetuskan jerebu di negara jiran, terutama Malaysia dan Singapura.

Berita Harian X