Jumaat, 8 November 2019 | 2:48pm
DATUK Shamrat Sen Gupta (dua dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM35,000.00 sebagai tanda siapnya kerja baik pulih kemudahan di empat sekolah iaitu SK Lubok Kelubi, SK Dusun Tua, SK Bandar Rinching dan SMK Bandar Tasik Kesuma. - Gambar ihsan Yayasan MRCB

Yayasan MRCB belanja RM35,000 untuk kemudahan pelajar

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB membelanjakan sebanyak RM35,000 bagi membaik pulih kemudahan di empat sekolah daerah Hulu Langat dan Semenyih.

Keempat-empat sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Rinching yang terletak di Semenyih manakala SK Lubok Kelubi dan SK Dusun Tua di Hulu Langat.

Pemegang Amanah Yayasan MRCB, Datuk Shamrat Sen Gupta, berkata kerja pembaikan untuk kedua-dua sekolah di Semenyih termasuk sumbangan kerusi dan meja di beberapa bilik darjah, selain kemudahan di tandas.

Katanya, di Hulu Langat pula membabitkan pengubahsuaian perpustakaan dan penyediaan tandas untuk pelajar orang kurang upaya (OKU).

“Kemudahan terbabit bakal dimanfaatkan oleh 1,000 pelajar. Dengan bantuan ini, pelajar OKU SK Dua Tua boleh menggunakan tandas dengan lebih selesa dan pelajar SMK Bandar Tasik Kesuma dapat menikmati perpustakaan yang baharu dengan persekitaran yang kondusif.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar,” katanya.


DATUK Shamrat Sen Gupta (duduk tengah), bergambar bersama pengetua dan guru besar serta pelajar empat sekolah di Semenyih dan Hulu Langat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan perpustakaan yang sudah diubah suai di SK Lubok Kelubi, Hulu Langat dan disaksikan oleh guru besar daripada keempat-empat sekolah itu dan pelajar.

Shamrat berkata, pihaknya akan terus berusaha mengenal pasti golongan memerlukan untuk membela nasib mereka.

September lalu, katanya, MRCB menganjurkan satu konsert amal bagi dan berjaya meraih dana sebanyak RM730,000 untuk membangunkan program yang boleh dimanfaatkan golongan kurang bernasib baik.

Sehingga kini, Yayasan MRCB menyumbang lebih RM1 juta dalam membantu pelajar dan golongan kurang berkemampuan di seluruh negara sejak penubuhannya pada 2015.

Sebelum ini, MRCB turut melaksanakan beberapa program secara progresif termasuk penyediaan bantuan pendidikan dan klinik bergerak kepada Orang Asli.

Jun lalu, pihak yayasan juga melaksanakan program pemakanan tahunan bernilai RM231,000 untuk 384 pelajar kurang bernasib baik di 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Berita Harian X