Sabtu, 9 November 2019 | 8:39am
SEBAHAGIAN mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon. - Foto ihsan APM

Mangsa banjir di Membakut meningkat

MEMBAKUT: Mangsa banjir di daerah ini terus meningkat kepada 90 orang hari ini, berbanding 46 orang yang dilaporkan semalam.

Semua mangsa membabitkan 31 keluarga dari beberapa kampung terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata antara kawasan terjejas adalah Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Sindok, Kampung Baitam Ulu dan Kampung Baitam Laut, Kampung Lumantak serta Kampung Kayai.

“Proses memindahkan mangsa banjir perlahan kerana petugas penyelamat terpaksa memujuk mangsa supaya berpindah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, usaha memindahkan mangsa banjir dibantu oleh pelbagai agensi.

Beberapa agensi terbabit merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

“Kita turut dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan dan Majlis Daerah Beaufort serta sukarelawan,” katanya.


ANGGOTA APM mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon. - Foto ihsan APM

Berita Harian X