Rabu, 13 November 2019 | 12:04am
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam van dalam kemalangan di Jalan Paradom, Sibu. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Kembar kemalangan, adik maut

SIBU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu abang kembarnya hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Paradom, di sini petang tadi.

Pemangku Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Kevin Wong Chung Xiang, 20, manakala abang kembarnya, Kenny Wong Chung Kai dilaporkan cedera sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.38 petang sebelum dua jentera, termasuk dari Unit Perkhidmatan Rawatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah van jenis Toyota Hiace. Bahagian hadapan van mengalami kerosakan teruk akibat terlanggar pokok di tepi jalan.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan pemotong hidrolik khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dan operasi tamat pada jam 4.35 petang,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X