Rabu, 13 November 2019 | 11:59am
PRESIDEN Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon. - Foto ihsan KATA

KATA sasar 300,000 pelancong sempena TMM 2020

KOTA BELUD: Pusat Pelancongan Kadamaian (KATA) menyasarkan kira-kira 300,000 pengunjung ke Kadamaian sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) tahun depan.

Presidennya, Walter Kandayon, berkata ahli KATA kini sudah siap sedia untuk menerima kehadiran pelancong sama ada dari dalam atau luar negara ke destinasi pelancongan yang ditawarkan di kawasan berkenaan.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia, selain pelancong tempatan kita juga menyasarkan lebih ramai pelancong dari China, Korea dan Eropah untuk datang, malah kita menyediakan aktiviti berasaskan sungai kepada mereka (terutama pelancong China dan Korea) serta aktiviti lasak kepada pelancong Eropah.

“Kita sudah lama bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke kawasan ini. Kita menyasarkan kira-kira 300,000 pelancong datang ke Kadamaian dengan pendapatan mencecah RM3.5 juta,” katanya ketika dihubungi BH di sini.

Walter berkata, antara persiapan dilakukan seperti mengadakan beberapa kursus keselamatan kepada petugas di pusat pelancongan, selain menekankan aspek kebersihan kepada semua pengusaha.

“Oleh kerana kita menawarkan aktiviti lasak dan mencabar terutama membabitkan aktiviti air (sungai), kita sudah mengadakan beberapa kursus keselamatan kepada petugas di pusat pelancongan.

“Saya percaya pengusaha pelancongan sudah bersedia menangani aspek keselamatan di kawasan masing-masing kerana setiap pengusaha (dalam persatuan KATA) mempunyai ahli jawatankuasa khusus menjaga keselamatan.

“Dalam aspek kebersihan pula, setakat ini kita berpuas hati dengan tahap kebersihan. Tambahan pula kita sentiasa mengadakan kempen kesedaran kebersihan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Sambil menjelaskan persiapan sudah lama dilakukan, Walter berkata KATA menawarkan pelbagai aktiviti termasuk yang baharu ditawarkan oleh pengusaha pelancongan di kawasan ini, antaranya mencuba makanan tradisi dan memancing di kolam.

“Ada beberapa lokasi percutian baharu juga ditawarkan seperti Karanahan View di Kampung Tempasuk 1, yang turut menawarkan pelbagai aktiviti riadah menarik seperti bermain layang-layang dan ada ladang arnab selain menyediakan inap desa,” katanya.

Antara aktiviti riadah sedia ada yang disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit, arung jeram di Sungai Kadamaian, menerong burung, mencerap bintang, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.

KATA mempunyai 65 pengusaha pelancongan setakat ini, tidak termasuk pengusaha yang belum menjadi ahli KATA, dengan membabitkan 60 kampung dan lebih 3,000 penduduk yang terbabit secara langsung menerima manfaat dengan ketibaan pelancong.

Berita Harian X