Rabu, 13 November 2019 | 1:56pm

Perak segera tangani wabak Chikugunya

IPOH: Kerajaan Perak akan mengambil tindakan segera berikutan wabak Chikugunya sudah diisytiharkan di beberapa kawasan di daerah Batang Padang dan daerah lain di negeri ini.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata satu mesyuarat kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan diadakan bagi membincangkan langkah mengatasi wabak itu.

“Kita akan mendapatkan laporan sepenuhnya daripada EXCO kesihatan dan laporan jabatan berkaitan serta mengambil langkah susulan daripada laporan diterima.

“Paling penting, kita akan memastikan keselamatan rakyat diutamakan,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Perayaan 100 Tahun Kelab Polo Iskandar, di Kelab Polo Iskandar di sini, hari ini.

Ahmad Faizal (tiga dari kanan) merasmikan Sambutan Perayaan 100 Tahun Kelab Polo Iskandar, di Kelab Polo Iskandar di Ipoh, hari ini. - NSTP/Muhaizan Yahya

Terdahulu, laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak di bawah Unit Kawalan dan Pencegahan Penyakit Bawaan Vektor Daerah Batang Padang mengisytiharkan wabak Chikugunya di daerah berkenaan.

Melalui laporan itu, Kampung Baru Air Kuning di mukim Chenderiang menjadi kawasan panas bagi wabak terbabit, diikuti kawasan Pekan Bidor di mukim Bidor yang berada dalam status wabak tidak terkawal.

Sementara itu, tiga kawasan iaitu Taman Tapah, Taman Tapah Baru dan Kampung Baru Kampung Pahang di mukim Batang Padang serta Taman Daya di mukim Bidor pula berada dalam status wabak terkawal.

Berita Harian X