Rabu, 13 November 2019 | 3:24pm
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kerajaan Johor beri insentif RM500,000 pada JDT juarai Piala Malaysia

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersetuju memberikan insentif berjumlah RM500,000 kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2019, pada 2 November lalu.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata insentif itu diberikan sebagai dorongan dan pemangkin di atas semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan JDT sehingga berjaya memenangi piala berprestij itu

“Bagaimanapun, Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, berkenan untuk mengurniakan semula insentif berkenaan kepada Kerajaan Johor, hari ini.

Kerajaan Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Pemangku Raja yang mengurniakan semula wang insentif berkenaan untuk manfaat rakyat negeri ini.

“Kurniaan semula ini adalah bagi menampung pembelian bot pengutip sampah untuk tujuan pembersihan sungai-sungai di negeri ini demi melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah pencemaran yang berlaku,” katanya.

Pada 2 November lalu, pasukan Harimau Selatan membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mudah menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Pemangku Raja yang mengurniakan semula wang insentif berkenaan untuk manfaat rakyat negeri ini.

Berita Harian X