Rabu, 13 November 2019 | 3:48pm

29 ditahan ceroboh hutan simpan

ALOR SETAR: Seramai 29 individu ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dalam Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu 2019 (Ops Rimba) kerana terbabit dalam kegiatan penerokaan haram hutan simpan kekal di negeri ini.

Mereka yang berusia antara 20-an hingga 60-an termasuk beberapa warga asing ditahan dalam operasi sejak 3 November lalu hingga semalam.

Suspek didapati melakukan meneroka hutan seluas 32 hektar di Hutan Simpan Pedu, Padang Terap; Hutan Simpan Enggang, Sik dan Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi.

Pengarah JPNK, Roslan Rani, berkata siasatan awal mendapati ada dalam kalangan mereka menebang hutan untuk aktiviti pertanian, selain ada yang membina pondok dan rumah.

“Kesemua tanaman seperti pokok pisang serta pondok dan rumah yang dibina individu terbabit dimusnahkan. Individu yang ditahan kerana turut mengambil kayu untuk tujuan komersial akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Industri Berasas Kayu,” katanya di sini, hari ini.

Operasi itu membabitkan 11 agensi seperti Jabatan Perhilitan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pejabat Daerah. Pelbagai jenis barangan termasuk kayu dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan pemulihan ke atas kawasan yang diteroka dengan menanam pokok.

Berita Harian X