Rabu, 13 November 2019 | 3:57pm
TEO Kok Seong

Cari penyelesaian projek perumahan terbengkalai di Taman Rembau Bayu

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan pembeli rumah di Taman Rembau Bayu, Rembau, minggu depan, untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah projek terbengkalai sejak enam tahun lalu itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, berkata perkara itu sedang diteliti kerajaan negeri, selain akan turut dibawa untuk perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Berdasarkan rekod, beliau berkata, projek itu membabitkan pembinaan 39 unit rumah dengan 27 daripadanya sudah dijual dan sepatut siap pada 2015.

“Pada 2017, pihak KPKT ada berusaha mengadakan perbincangan tetapi ketika itu, pemaju memberi maklumat kurang tepat dan mereka berjanji mahu meneruskan projek terbabit.

“Pembeli diharapkan bersabar. Kita akan mengadakan pertemuan dengan mereka untuk cuba mengenal pasti punca masalah ini.

“Kita juga akan mengaturkan supaya pihak KPKT boleh hadir pada pertemuan dengan pembeli untuk membincangkan masalah ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan seramai 27 pembeli kecewa apabila rumah di Taman Rembau Bayu yang mereka beli pada harga antara RM250,000 hingga RM320,000, terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Pemaju didakwa menghentikan kerja pembinaan hingga sekarang sebaik saja projek itu siap antara 50 hingga 80 peratus.

Susulan itu, pembeli mendakwa mereka terpaksa menanggung beban meneruskan pembayaran ansuran pinjaman kepada pihak bank walaupun projek perumahan berkenaan belum siap dan tidak boleh didiami.

Berita Harian X