Rabu, 13 November 2019 | 4:59pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - NSTP/Sairien Nafis

Tiada minat, kahwin antara faktor pelajar tidak teruskan persekolahan

SHAH ALAM: Seramai 12,281 pelajar di negeri ini didapati tidak meneruskan persekolahan, termasuk atas faktor tiada minat, masalah keluarga, berkahwin, takut ke sekolah dan bekerja.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata jumlah itu membabitkan seramai 11,031 pelajar sekolah menengah dan 1,250 lagi peringkat sekolah rendah.

“Bagi sekolah menengah, bilangan pelajar tidak meneruskan persekolahan kerana berhenti ialah 10,094 orang, tidak berminat ke sekolah (549), bekerja (183), masalah keluarga (123), sukar ke sekolah (43), berkahwin (19), takut ke sekolah (11) dan kemiskinan (sembilan).

“Bagi sekolah rendah pula, faktor berhenti sekolah membabitkan 863 pelajar, masalah keluarga (198), tidak berminat ke sekolah (128), sukar ke sekolah (29), kemiskinan (15), takut ke sekolah (lapan), bekerja (tujuh) dan berkahwin (dua),” katanya ketika menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.

Mazwan ingin mengetahui jumlah pelajar di Selangor yang tidak meneruskan persekolahan, dan langkah kerajaan negeri untuk memastikan pelajar yang bekerja tidak ketinggalan dalam akademik.

Mazwan turut bertanya sama ada kerajaan negeri atau Jabatan Pendidikan Selangor memiliki sistem khusus untuk membantu pelajar sekolah yang menghadapi masalah kewangan atau kewarganegaraan.

Menjelaskan lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi memastikan pelajar sekolah yang bekerja tidak ketinggalan dalam akademik.

“PTRS boleh dilaksanakan dengan waktu fleksibel, tertakluk pada waktu ditetapkan oleh sekolah masing-masing.

“Program ini juga dilaksanakan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Selangor tidak memiliki sistem khusus untuk membantu pelajar sekolah yang berdepan masalah kewangan atau kewarganegaraan.

“Namun, Jabatan Pendidikan Selangor ada cara untuk membantu pelajar yang layak. Antaranya, Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Program Susu Sekolah dan lain-lain lagi.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan Program Ziarah Cakna untuk bertanya khabar dan memberi penerangan kepada keluarga,” katanya.

Berita Harian X