Rabu, 13 November 2019 | 6:34pm
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama (JV) antara Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan syarikat Jit Hoe Hardware Sdn Bhd di Bilik Bijasura, Seri Negeri. - NSTP/Fairuz Zaidan

Melaka syaratkan KM isytihar harta kepada SPRM mulai tahun depan

AYER KEROH: Kerajaan Melaka akan mensyaratkan Ketua Menteri untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata proses pengisytiharan harta itu akan mengikut model sama bagi menteri pada peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Proses pengisytiharan harta kepada SPRM ini hanya membabitkan jawatan Ketua Menteri, sesuai dengan kedudukannya sebagai pembuat dasar utama pada peringkat negeri.

“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan EXCO pula akan mengisytiharkan harta pada peringkat pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama (JV) antara Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan syarikat Jit Hoe Hardware Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan bercampur di Mukim Melaka Pindah, Alor Gajah, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Cadangan pembangunan bercampur bernilai RM40 juta itu merangkumi perumahan dan perniagaan membabitkan keluasan 3.6422 hektar di lot 799, Mukim Melaka Pindah, Alor Gajah, yang dijangka dibangunkan dalam tempoh tiga tahun.

Menjelaskan lanjut, Adly berkata, proses pengisytiharan harta pada peringkat pentadbiran negeri sudah bermula tahun lalu membabitkan semua ADUN dan EXCO, termasuk Ketua Menteri.

Ditanya sama ada wujud keperluan untuk semua ADUN dan EXCO di Melaka turut mengisytiharkan harta kepada SPRM pula, Adly berkata, memadai proses itu dilaksanakan pada peringkat pentadbiran negeri.

“Lagipun, yang banyak kuasa ialah Ketua Menteri, justeru saya kira memadai Ketua Menteri (mengisytiharkan harta kepada SPRM). EXCO dan ADUN sama seperti penjawat awam lain yang melalui proses pada peringkat pentadbiran saja,” katanya.

Pada majlis hari ini, MPAG diwakili Yang Dipertuanya, Zamzuri Ariffin, manakala Jit Hoe Hardware pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PSA Groups, Datuk Azizan Abdul Majid.

Berita Harian X