Rabu, 13 November 2019 | 8:12pm

'Sudah sebulan sakit-sakit sendi akibat Chikungunya'

TAPAH: “Sudah sebulan saya sakit-sakit sendi. Saya yakin ia berpunca daripada demam Chikungunya,” kata Abdul Rani Mohddin, 61, penduduk Taman Tapah Baru, di sini yang diisytiharkan sebagai antara kawasan yang dilanda wabak itu.

Sebelum mengalami sakit sendi, Abdul Rani demam selama tiga hari dan kini rasa sakit sendi itu masih ada walaupun sudah sebulan berlalu.

Isterinya serta dua cucu dan seorang anak yang tinggal bersama juga mengalami gejala sama malah isterinya paling teruk apabila sakit kedua-dua lutut hingga sukar bangun dan berjalan.

“Susulan wabak yang melanda kawasan kediaman kami, pihak berkuasa sudah beberapa kali datang untuk membuat semburan nyamuk Aedes.

“Penduduk berharap wabak ini dapat dibendung daripada terus merebak ke kawasan lain pula,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk kawasan perumahan itu, Rubiah Abdul Hamid, 55, berkata dia mengalami sakit pinggang yang teruk selain merasa sakit-sakit badan.

“Saya mula demam Khamis minggu lalu dan baru pulih pada Sabtu. Saya mendapatkan rawatan di klinik dan kini demam sudah baik namun masih sakit pinggang hingga ke hari ini.

“Disebabkan keadaan itu saya tidak dapat berniaga selama empat hari dan hari ini baru dapat membuka kedai,” katanya ditemui di kedai makannya di Taman Tapah.

Menurut Rubiah, beberapa pekerjanya juga mengalami demam dan gejala sama baru-baru ini serta percaya ia disebabkan penularan wabak Chikungunya yang melanda daerah Batang Padang ketika ini.

ABDUL Rani Mohddin
Berita Harian X