Khamis, 14 November 2019 | 10:24am
Rakaman CCTV menunjukkan seekor kerbau jantan seberat kira-kira 700 kilogram yang tersesat sebelum cuba memasuki sebuah hotel. - Ihsan pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan seekor kerbau jantan seberat kira-kira 700 kilogram yang tersesat sebelum cuba memasuki sebuah hotel. - Ihsan pembaca

Belum ada tampil mengaku pemilik kerbau 'check-in' hotel

MELAKA: Belum ada pihak tampil mengaku pemilik kerbau jantan seberat lebih setengah tan yang mati ditembak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka selepas memasuki sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, berhampiran Jonker Walk, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan polis setakat ini masih belum mendapat maklumat mengenai pemilik haiwan liar itu.

“Polis akan cuba mengesan pemilik kerbau berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 06-284 2222,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, haiwan liar itu berkemungkinan terlepas ketika dibawa pemilik atau pekerja untuk ke lokasi pemindahan dan bukannya diternak penduduk sekitar.

Kerbau jantan seberat kira-kira 700 kilogram itu dilaporkan tersesat sebelum cuba memasuki sebuah hotel lain di kawasan berkenaan kira-kira jam 6 pagi semalam.

Haiwan itu kemudian beredar keluar melalui kawasan kafe hotel berkenaan dan menuju ke kawasan berhampiran sebelum terperangkap dalam sebuah galeri, kira-kira jam 7.30 pagi.

Selepas lebih dua jam terperangkap, haiwan itu berjaya ditumbangkan kakitangan JPV dengan melepaskan satu das tembakan pada 10.15 pagi.

Kerbau berkenaan juga sempat disembelih sebelum ia mati dan dibawa ke rumah sembelihan JPV di Jasin untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X