Khamis, 14 November 2019 | 12:59pm
- Foto hiasan

Lokasi Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak digilirkan

KUCHING: Lokasi Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak akan digilirkan antara Kuching dan Kota Kinabalu bagi setiap 10 tahun.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sistem penggiliran itu yang akan berkuasakuasa esok, dipersetujui Kerajaan Persekutuan selepas menerima pandangan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan untuk memindahkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak ke Kota Kinabalu berkuatkuasa Mei lalu.

“Wakil Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak mengunjungi saya Selasa lalu dan memaklumkan bahawa keputusan itu yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mengikut keputusan itu, Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak akan ditempatkan di Kota Kinabalu namun akan dipindahkan semula ke Kuching selepas 10 tahun dan penggiliran itu berterusan untuk 10 tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, malam tadi.

Pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam, GPS dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyatakan pendirian bersama membantah pemindahan pejabat berkenaan dari Kuching ke Kota Kinabalu.

Terdahulu usul membantah pemindahan pejabat pendaftar itu dibangkitkan See Chee How (PH-Baru Lintang) pada persidangan DUN semalam, namun ia ditolak kerana tidak menepati Perintah Tetap Dewan.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol, berkata GPS menyokong usul yang dikemukakan wakil PH kerana ia berkaitan kepentingan negeri.

Malah katanya, Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, turut mengakui usul itu amat baik namun terpaksa ditolak atas sebab teknikal.

Berita Harian X