Khamis, 14 November 2019 | 3:12pm
S MOHANA Sundari (tengah bertopi) bersama 80 peserta dalam cabaran K3P Tourism Explorace. - Foto ihsan MOTAC

K3P Tourism Explorace uji mental, stamina

MELAKA: Melepasi lebih 100 anak tangga, bergambar bersama pelancong dan membuat tanjak bendera Malaysia, itu cabaran yang berjaya dilalui 80 peserta K3P Tourism Explorace di Banda Hilir, di sini.

Setiap cabaran itu bukan sahaja menguji daya stamina kerana perlu berlari di antara tempat pemeriksaan, malah ia juga menduga kecerdasan mental peserta menerusi tugasan diberi.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), S Mohana Sundari, berkata program itu bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyebut `tak kenal maka tak cinta”.

Katanya, ini kerana kegiatan yang menguji kecerdasan minda dan kecergasan fizikal ini secara tidak langsung mendedahkan peserta terhadap produk pelancongan yang ada di Melaka.

“Program ini bertujuan memberi pendidikan kepada pelajar mengenai kepentingan industri pelancongan negara, selain memupuk budaya melancong dalam kalangan pelajar.

“Ia juga memberi pendedahan mengenai prospek kerjaya dalam industri pelancongan dan pada masa sama, memupuk budaya kesukarelawanan, sekali gus mengurangkan gejala sosial,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Program anjuran MOTAC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu menyediakan 10 tempat pemeriksaan dengan peserta perlu melakukan tugasan yang diberikan sama ada bergambar mahupun aktiviti.

Bagaimanapun, setiap tugasan yang diberikan perlu dikongsikan menerusi Instagram mahupun Facebook sebagai tugasan akhir.

Rata-rata peserta gembira dengan acara itu dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun depan dengan skop lebih besar.

Pada acara itu, pasukan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir dari Negeri Sembilan dinobatkan juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500.

Tempat kedua dimenangi pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman dari Kuala Lumpur yang mendapat RM1,000 manakala pasukan SMK Padang Midin dari Terengganu di tempat ketiga, menerima RM500.

Sempena Karnival K3P itu, penganjur turut menyediakan beberapa program, antaranya taklimat kerjaya dalam bidang pelancongan oleh wakil industri iaitu wakil MAH, AMSPA dan TGA.

Lawatan pula dilakukan ke produk pelancongan seperti Dutch Square, St Paul Hill, Muzium Sejarah, Porta De Santiago, Memorial Pengisytiharan Merdeka, Stadhuys, selain Tourism Explorace, Pertandingan Projek Video Promosi dan Pengalaman Homestay di Kampung Morten.

Berita Harian X