Jumaat, 15 November 2019 | 3:57pm
Pelukis, Mohd Zuwairi Abd Rahman, 41, bersama karya muralnya di Jalan Tengkera, Kota Laksamana. - Foto Rasul Azli Samad
Pelukis, Mohd Zuwairi Abd Rahman, 41, bersama karya muralnya di Jalan Tengkera, Kota Laksamana. - Foto Rasul Azli Samad

Mural jadi tarikan baharu Kampung Tengkera

Melaka: Beberapa bangunan di kawasan Kampung Tengkera di sini akan dipilih sebagai tapak lukisan mural di bawah Program Keceriaan Kampung di negeri ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengkera, Ahmadsha Mohd Ishaque, berkata mural berkenaan juga akan menjadi tarikan baru pelancong dari dalam dan luar negara.

Lukisan mural juga dapat menambahkan lagi keceriaan kampung berkenaan yang terletak berhampiran Jonker Walk sebagai lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, kita bekerjasama dengan pelukis terkenal Mohd Zuwairi yang mengambil masa selama dua minggu menyiapkan lukisan mural di dinding bangunan berhadapan Balai Raya Tengkera.

“Lukisan bertajuk ‘Sepakat’ itu menggambarkan latar tahun 1960-an hingga 1980-an yang mana kebanyakan penduduk bekerja sebagai sebagai nelayan,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, mural bersaiz 4.5 meter tinggi dan 21.3 meter panjang menggunakan cat akrilik itu dirasmikan Ketua Menteri Adly Zahari.

Adly (kanan) merasmikan lukisan mural pelukis, Mohd Zuwairi Abd Rahman, 41, (kiri) sambil diperhatikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengkera Ahmadsha Mohd Ishaque (empat dari kiri) di Jalan Tengkera, Kota Laksamana. - Foto Rasul Azli Samad

Mengulas lanjut Ahmadsha berkata, pemilihan jenis mural itu juga dibuat berdasarkan sejarah yang mengingatkan kembali pengunjung Kampung Tengkera sebagai kawasan persisiran pantai yang kini tidak wujud lagi bangunan berkenaan.

“Kita juga telah menyerahkan kertas kerja berkaitan penambahan mural di Kampung Tengkera kepada Ketua Menteri dan berharap ia dapat menceriakan lagi Kampung Tengkera yang dihuni pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Berita Harian X